Seharian Tunggu Anak Di Luar Sekolah

Sekumpulan wanita dari Pulau Berhala berkumpul di jejantas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 1, di Sandakan sambil membuat persiapan anak sebelum sesi persekolahan bermula. Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Sejak bertahun lalu, sekumpulan wanita dari Pulau Berhala, dekat Sandakan menjadikan jejantas dan kawasan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 1, Sim-Sim di sini, sebagai tempat menunggu sementara anak-anak mereka mengikuti sesi pembelajaran.

Setiap hari mereka menghantar dan menunggu anak di luar sekolah berkenaan demi memastikan anak-anak mendapat ilmu sama seperti kanak-kanak lain.

Bukan itu saja, mereka juga terpaksa bergerak seawal 6 pagi dari Pulau Berhala yang terletak kira-kira dua batu nautika dari sini untuk menaiki feri ke pusat bandar, sebelum menggunakan bas ke sekolah.

Setibanya di sekolah, mereka berkumpul di luar sekolah atau ‘berkampung’ di jejantas dengan semua persediaan anak seperti makan dan memakai seragam sekolah dilakukan di situ.

Seorang ibu 12 anak, Lili Josen, 44, berkata, dia melakukan rutin itu sejak 27 tahun lalu iaitu ketika anak sulung mula masuk ke Tahun Satu pada 1993.

Tahun ini, lima anak Lili masih bersekolah dengan dua masing-masing berada di Tingkatan Tiga dan Lima, manakala tiga lagi Tahun Dua, Empat dan Enam di SK Tanjung Papat 1.

“Dalam sehari, kos kami naik feri, tambang bas dan beli makanan jika tidak sempat masak di rumah antara RM30 hingga RM35.

“Bila suami tidak dapat turun ke laut terutama musim tengkujuh, kami tiada wang dan tidak dapat hantar anak ke sekolah. Biasanya saya jumpa guru untuk beritahu lebih awal masalah kami supaya anak tidak dikenakan tindakan disiplin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelas Lili lagi, biasanya mereka seharian di sekolah menunggu anak yang bersekolah pada sesi pagi dan petang dengan kadang-kadang tiba di rumah antara 7 petang hingga 10 malam atau terpaksa bermalam di pasar ikan yang terletak berhampiran jeti jika tiada feri.

Seorang lagi ibu, Rajimah Abdul, 32, yang turut menghantar dua anak ke sekolah terbabit dengan seorang daripadanya baharu memasuki Tahun Satu menjelaskan mereka tidak sanggup membiarkan anak ke sekolah sendiri kerana bimbang terhadap keselamatan anak.

Katanya, beberapa insiden yang berlaku sebelum ini termasuk bot karam, kanak-kanak dari pulau dilanggar kereta ketika melintas jalan, selain ada yang tidak sempat pulang ke rumah kerana ketinggalan feri pada sebelah petang meningkatkan lagi kebimbangan mereka.

“Biarlah menunggu anak seharian di sekolah. Kami cuma harap mereka dapat belajar dan capai cita-cita bila besar,” katanya.

Katanya, penduduk pulau terbabit pernah menyuarakan kepada wakil rakyat mengenai masalah berkenaan dan meminta bantuan murid disediakan pengangkutan untuk mengurangkan bebanan ibu bapa.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *