PRK Kimanis: WARISAN Tak Takut UMNO

MEMBAKUT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak takut dengan UMNO yang akan menentang calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Sebaliknya, Presiden WARISAN itu menegaskan gabungan kerjasama parti berkenaan dengan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan komponen Pakatan Harapan (PH) akan dapat menumbangkan UMNO.

Jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh datang beramai-ramai ke Kimanis dan menceritakan apa saja pada kempen PRK berkenaan.

“Saya sudah maklumkan kepada Pegawai Daerah supaya benarkan mereka menggunakan kemudahan yang ada termasuk di masjid walaupun dulu (ketika BN kerajaan) saya dihalang guna dewan.

“Kita ubah, bukan kita takut mereka datang. Saya tahu mereka akan cakap pasal Pas Sementara Sabah (PSS), pendatang asing tanpa izin (PATI) dan saya ini presiden PATI.

“Saya nak bagi tahu, bapa, nenek saya kubur dia di Semporna bukan di Filipina, bukan di Indonesia atau di Jepun tapi orang cakap saya PATI. Tapi tidak apa, saya serahkan saja kepada Allah,” katanya pada pelancaran jentera WARISAN PRK Kimanis, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu dan Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking.

Mohd Shafie bagaimanapun mengingatkan PRK itu bukan tempat untuk mencaci kerana beliau sendiri mengakui pernah berada dalam UMNO sehingga menjawat jawatan Naib Presiden dan menjadi menteri di pelbagai kementerian.

Sementara itu, katanya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyerahkan kepada WARISAN dan PH Sabah untuk menentukan kejayaan PRK Kimanis.

“PRK ini membawa pengertian yang besar kerana ia boleh membuktikan sama ada rakyat Malaysia, orang Sabah di Kimanis ini boleh menentukan masa depan rakyat kita sendiri.

“Bukan UMNO atau BN yang menentukan masa depan Sabah, bukan Tanjung Piai yang menentukan Kimanis. Tanjung Piai lain, Kimanis lain..sana ada jalan, sini lumpur dan guna jambatan gantung, banyak bezanya,” katanya.

Katanya, kerajaan diterajui WARISAN dan PH tidak harus dinilai dengan membandingkan UMNO dan BN yang memerintah selama 60 tahun.

Jelasnya, sebagai kerajaan yang baru berusia setahun sembilan bulan, belum banyak hasil dapat dilihat, sama seperti kelapa sawit yang baru ditanam mengambil masa sehingga lima tahun untuk berbuah.

Dalam hal lain, Mohd Shafie menegaskan beliau mahu gas dikeluarkan di Sabah, yang kini disalurkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis melalui saluran paip ke Bintulu, Sarawak, dimanfaatkan untuk ekonomi hiliran di negeri ini.

“Kimanis perlu ada perubahan…saya sudah maklumkan Tun M (Dr Mahathir) dan Presiden PETRONAS, saya tidak mahu gas kita ke Bintulu. Kita mahu ada kilang di Kimanis, bukan di Bintulu sebab ia gas kita, kenapa pula kita mahu hantar sana,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *