Padah Merokok Di Tempat Awam, Tujuh Notis Hadir Mahkamah

Rahman Sampe

TAWAU: Padah merokok di tempat awam, tujuh individu diberikan notis hadir ke mahkamah pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di sini semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan Daerah Tawau, Rahman Sampe, berkata, operasi hari pertama itu dilakukan di sekitar Bandar Tawau, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Semua mereka dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Dalam masa sama, 19 premis turut dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, beliau bersama 32 pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan Daerah Tawau melakukan pemeriksaan premis makanan termasuk gerai yang terletak di Jalan Pesisir.

“Dalam masa sama, kami turut mengambil tindakan di bawah Peraturan 23(1)(b) ke atas sebuah premis makanan kerana gagal memastikan tiada orang merokok dalam premis jagaannya.

FAIZAL BACHO

“Pihak kami akan meneruskan operasi ini dari masa ke semasa dalam memastikan orang ramai termasuk pemilik premis mematuhi peraturan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Sementara itu, peniaga gerai makanan, Faizal Bacho, 46, berkata, pihaknya mengambil inisiatif memasang papan tanda larangan merokok sejak pengumuman cadangan KKM, tahun lalu.

“Ini kali kedua kami menukar papan tanda tersebut selepas yang pertama rosak dan patah.

“Bagi saya, tiada masalah untuk penguatkuasaan perundangan baharu itu, kerana mampu menjamin kesihatan bersama termasuk golongan tidak merokok dan kanak-kanak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *