Dua Pelajar Tingkatan 5 Dikompaun Merokok Di Premis Makanan

Gambar Ihsan KPKT


TAWAU; 2 JANUARI 2020 (Khamis) – Dua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di Tawau dikompaun merokok dipercayai kes pertama di Malaysia membabitkan pelajar sekolah sejak Penguatkuasaan Undang-Undang Larangan Merokok di premis makanan, kelmarin.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan Tawau (KPKT) Rahman Sampe yang dihubungi pemberita RTM berkata, kedua-dua pelajar berkenaan didenda 50-ringgit seorang selepas didapati merokok di kawasan premis makanan terbuka, di Ambar Park, Jalan Kuhara, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Gambar Ihsan KPKT

Beliau berkata, kedua-dua pelajar berkenaan dikesan melakukan kesalahan dibawah peraturan 13(1) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 iaitu kesalahan merokok bagi orang belum Dewasa atau bawah 18 tahun.

Beliau berkata, ketagihan merokok dalam kalangan mereka yang masih dibawah umur perlu dibendung bagi mengelakkan memberi kesan kepada kesihatan selain mudah terjebak dengan pengaruh negatif lain.

Justeru, beliau berharap agar ibubapa turut memainkan peranan dan memantau anak-anak mereka dalam usaha membendung gejala ini daripada terus berleluas.

Gambar Ihsan KPKT

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan merokok boleh menyalurkannya kepada Pejabat Kesihatan Tawau atau berhubung secara terus kepada beliau di talian 016-472 9314.

Menurut Rahman, perokok yang ingin berhenti merokok boleh mendaftar di Pejabat KPKT menerusi ‘mQuit’ untuk membantu perokok menangani masalah ketagihan.

Gambar Ihsan KPKT

#BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *