Lelaki Pemegang IMM13 Dicekup Lepas Ragut Telefon Pelancong China

Suspek yang diberkas orang awam selepas meragut telefon bimbit pelancong wanita warga China. – Gambar SNT/Ihsan IPD KK

IPD Papar terus gempur sarang dadah

KOTA KINABALU: Cubaan seorang penjenayah meloloskan diri selepas meragut telefon bimbit pelancong wanita warga China gagal apabila dia ditahan orang awam dalam kejadian di tepi pantai Taman Prince Philip, Tanjung Aru 2 di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 malam itu, suspek dikatakan merampas telefon bimbit mangsa berusia 26 tahun yang dipegangnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang bersantai di tepi pantai bersama seorang rakannya sebelum dihampiri oleh suspek.

“Suspek kemudian menegur mangsa sebelum meragut telefon bimbit berjenama yang dipegang oleh mangsa dan terus melarikan diri.

“Mangsa dan rakannya mengejar sambil menjerit meminta tolong dan orang ramai yang menyedari kejadian itu segera mengejar suspek.

“Suspek berjaya ditangkap oleh orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum mereka menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, telefon bimbit yang diragut oleh suspek kemudian diserahkan semula kepada mangsa manakala suspek dibawa ke Balai Polis Tanjung Aru untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 29 tahun warga Filipina memiliki pas pelarian IMM13,” ujarnya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata api.

 SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *