Laluan Kundasang-Ranau Dibuka Semula 9 Januari 2020

Kerja-Kerja pembaikan di Kilometer (KM) 96.7 Jalan Kundasang Ranau sudah mencapai 70 peratus dan dijangka dapat dibuka semula kepada lalu lintas pada 9 Januari.


KOTA KINABALU: Lokasi laluan runtuh di Kilometer (KM) 96.7 Jalan Kundasang-Ranau yang terjejas sejak 8 Disember lalu dijadual dibuka semula, 9 Januari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Richard Jomiji Kinsil, berkata, ketika ini, kontraktor sedang menyiapkan kerja akhir pembaikan laluan terbabit.

“Perkembangan kerja pembaikan secara keseluruhan setakat ini sudah mencapai 70 peratus.

“Baki kerja yang belum siap ialah subbase dan base course jalan, pemasangan sheet pile, penghadang jalan, papan tanda dan garisan jalan.

“JKR menyasarkan untuk membuka semula laluan itu kepada pengguna pada 9 Januari 2020 tetapi ia bergantung juga kepada keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya jika semua kerja akhir pembaikan laluan berkenaan berjalan lancar, ia mungkin dapat dibuka semula kepada lalu lintas lebih awal, sebelum 9 Januari depan.

Laluan jalan raya utama yang menghubungkan Kundasang dengan Ranau itu terjejas akibat tanah runtuh yang berpunca daripada kerja pembersihan tanah bukit untuk perumahan dan pertanian.

Kejadian pada 9 malam, 8 Disember lalu itu berlaku selepas hujan lebat menyebabkan runtuhan tanah setinggi 150 meter dan lebar lebih 30 meter dari kawasan bukit berhampiran sehingga menutupi dan merosakkan jalan raya sepanjang kira-kira 100 meter.

Keadaan itu menyebabkan ratusan kenderaan dari arah Kota Kinabalu dan Sandakan terperangkap sebelum pihak JKR mencadangkan laluan alternatif menggunakan jalan kampung di kawasan berhampiran selain jalan lain seperti Jalan Ranau-Telipok dan Ranau-Tambunan-Penampang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony, sebelum ini berkata, kerja pembaikan keseluruhan laluan berkenaan dianggarkan mencecah RM25 juta.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *