‘Bu…bu…bu…’

Keletah Arfan Zikri di kubur arwah ibu bapanya mengundang sebak warganet. Gambar ihsan Nur Azuan Shamsuddin.

“Bu! Bu! Bu!” Demikian rintihan anak kecil berusia dua tahun di depan kubur ibu bapanya yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya pada 29 Oktober lalu.

Kisah meruntun hati itu dikongsi Nur Azuan Shamsuddin, 32, bapa saudara kepada anak kecil itu, Muhammad Arfan Zikri di Facebook miliknya yang tular di media sosial selepas dimuat naik pada 25 Disember lalu.

Keletah Arfan Zikri di kubur arwah ibu bapanya mengundang sebak warganet. Gambar ihsan Nur Azuan Shamsuddin.

“Kebetulan cuti Hari Krismas, jadi saya bersama keluarga pulang ke kampung halaman selama beberapa hari untuk melawat Arfan yang kini dijaga neneknya di Bachok.

“Pada hari itu, saya beritahu Arfan mahu menziarah Abi dan Ibu di kubur. Sebaik saja tiba, dia kelihatan teruja dan terus memanggil arwah ibunya,” kata Azuan sebak.

Azuan bersama Arfan Zikri. Foto ihsan Nur Azuan Shamsuddin.

Azuan ketika dihubungi, memberitahu keletah anak itu turut mengundang perasaan sebak kepada mereka sekeluarga yang menyaksikan situasi itu.

Apatah lagi, Arfan kelihatan aktif mengelilingi kubur kedua ibu bapanya tanpa menghiraukan saudara mara lain.

“Sekejap dia duduk, kemudian berdiri dan mengelilingi kubur arwah adik dan adik ipar saya. Dia asyik menguis pasir di kubur bermain-main sambil melayan perasaan hampir lima ke 10 minit.

“Ajak dia balik sebab hari sudah lewat pun dia enggan dan terus duduk di tepi kubur ibu bapanya sambil bermain pasir.

“Saya jadi sebak tengok keletah Arfan, walaupun tidak menangis tapi kami tahu dia sangat rindukan kedua-dua arwah,” katanya.

Keletah Arfan Zikri di kubur arwah ibu bapanya mengundang sebak warganet. Gambar ihsan Nur Azuan Shamsuddin.

Azuan turut berkongsi antara situasi lain apabila Arfan agak murung seolah-olah tahu kehilangan orang yang tersayang.

“Sebelum arwah adik meninggal, arwah pernah beritahu Arfan agak sukar nak urus terutama apabila disuruh tidur.

“Tapi sejak arwah tiada, Arfan senang sangat nak urus, tidak merengek dan tidur pun senang. Kalau dia terjaga pada waktu malam pun sebab nak susu, itu saja,” katanya.

Azuan memberitahu, walaupun Arfan bukan di bawah jagaannya, tetapi dia sentiasa berhubung bertanya khabar selain sedaya upaya berusaha pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama.

Dia berharap anak saudaranya itu terus mendapat kasih sayang tidak berbelah bagi dari seluruh ahli keluarga selain membesar menjadi anak terbaik, soleh dan beriman kebanggaan arwah ayah dan ibunya.

Dalam kejadian 29 Oktober lalu, Lans Koperal Muhammad Shakiran dan isteri, Nurul Ashikin Kamaruddin, maut apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam nahas di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.

Lebih menyayat hati, Nurul Ashikin disahkan mengandung dua minggu dan pasangan itu meninggalkan anak tunggal mereka, Arfan yang kini di bawah jagaan neneknya di Bachok.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *