300 Ahli STAR Kimanis Sertai WARISAN

Karim menerima borang penyertaan ke dalam Warisan daripada ahli-ahli Star Kimanis hari ini.

KIMANIS: Kegagalan pemimpin yang ada memperjuangkan hak rakyat menyebabkan Timbalan Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Bahagian Kimanis, Holy Juking mengisytiharkan keluar daripada parti itu hari ini untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Keputusan Holy itu turut disertai kira-kira 300 ahli Star di tujuh daripada sembilan cawangan parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut seterusnya melumpuhkan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Karim menerima borang penyertaan ke dalam Warisan daripada ahli-ahli Star Kimanis hari ini.

Borang permohonan keahlian mereka telah diserahkan kepada Ketua Warisan Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang dalam satu majlis hari ini.

Holy ketika ditemui berkata, selepas sekian lama di dalam Star, mereka mendapati matlamat pemimpinnya telah tersasar, justeru mereka membuat keputusan meletakkan kepercayaan kepada Warisan sebagai penaung untuk memajukan negeri ini.

“Sokongan terhadap Warisan adalah ikhlas tanpa ada apa-apa imbuhan dan niat untuk menyokong parti ini terbuka setelah bertemu dengan Datuk Karim Bujang sebelum ini.

“Kami kini lebih praktikal dan lebih mementingkan perjuangan kami iaitu mahu memastikan pembelaan terhadap rakyat dan kawasan ini terpelihara melalui parti Warisan sebagai peneraju kerajaan,” katanya.

Keputusan ahli-ahli Star itu yang merupakan pengundi di Parlimen Kimanis pasti memberi momentum kepada kerajaan dalam menghadapi PRK pada 18 Januari depan.

“Pada masa sama, kami ingin sekali Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dapat bertemu kami bagi membincangkan banyak perkara melibatkan kemajuan di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Karim dalam ucapannya di majlis itu menyambut baik penyertaan secara beramai-ramai ahli STAR yang turut disifatkannya sebagai tindakan tepat agar tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negeri.

“Saya hargai tindakan ini dan mengalu-alukan lebih ramai ahli daripada parti pembangkang lain untuk menyertai Warisan,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *