UMNO Sabah Nafi Desak Anifah Tanding Atas Tiket BN

Bung bersama rombongan UMNO Sabah di PDM Lumat, Kimanis.

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menafikan parti itu (UMNO) dan Barisan Nasional (BN) mendesak Datuk Seri Anifah Aman bertanding atas tiket BN pada PRK Kimanis.

Beliau berkata, apa yang berlaku ialah UMNO Sabah sebelum ini mencadangkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi agar Anifah dicalonkan semula di kerusi itu jika beliau bersetuju bertanding atas tiket BN.

Menurut Bung sebelum itu beliau telah berbincang bersama Anifah mengenai perkara ini, bagaimanapun bekas Menteri Luar itu menolak dengan alasan mahu menumpukan perhatian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Tidak timbul isu Zahid memujuk dan memaksa Anifah untuk bertanding semula di Kimanis kerana perbincangan telah kami lakukan sebelum ini bersama beliau,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Biro Penerangan Multimedia dan Pendidikan Parti Warisan Sabah Datuk Dr.Yusuf Yakub yang menyebut BN/UMNO menghadapi kemelut dalaman dan kononnya terdapat kelemahan parti menerusi status yang dimuat naik di media sosial.

Mengulas lanjut Bung berkata, perkara itu hanya cadangan UMNO Sabah kepada presiden tanpa menjejaskan kuasa autonomi UMNO Sabah.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan masih ramai pemimpin UMNO Sabah terutamanya di bahagian Kimanis yang boleh diketengahkan menjadi calon, cuma pihaknya membuat tawaran kepada Anifah kerana akur dan faham beliau masih mempunyai penyokong yang ramai di Parlimen Kimanis.

“Anifah sudah membuat keputusan menolak tawaran ini, kami kena hormatinya namun apa yang membanggakan kami beliau terus menyokong perjuangan kami mempertahankan kerusi BN di Kimanis bagi memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.

Bung turut menyifatkan kenyataan Dr Yusuf dangkal dan hanya cuba mengelirukan rakyat khususnya penyokong-penyokong BN di Parlimen Kimanis.

“Saya harap rakyat tidak mudah dikelirukan dengan kenyataan seperti ini,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama petugas-petugas markas BN di pejabat UMNO bahagian Kimanis semalam.

Sebelum itu Bung bersama rombongan UMNO Sabah melawat beberapa buah PDM di Parlimen Kimanis dan berpuas hati dengan kesiapsiagaan jentera BN di semua PDM bagaimanapun menurut beliau ianya akan terus dipertingkatkan sehingga tarikh pembuangan undi pada 18 Januari depan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *