4 Wanita Pelancong China Dibebaskan Selepas Dipenjara 18 Hari

Warga China dibebaskan selepas 18 hari menjalani tempoh tahanan reman yang ditukar menjadi hukuman penjara di Mahkamah Sesyen Tawau.

TAWAU: Empat pelancong wanita warganegara China dibebaskan semalam selepas menjalani hukuman penjara 18 hari bermula daripada tarikh mereka ditahan iaitu pada 10 Disember lalu atas kesalahan gagal melaporkan diri di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika berada di negeri ini.

Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh berkenaan kepada Wang Xiali, 25, Wu Jingting, 24, Zhang Qingsi, 23, dan Liu Ling, 22, selepas kesemua mereka mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Empat wanita warganegara China dibebaskan semalam. – Gambar SNT/Ihsan JIM

Pengarah JIM Sabah, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata empat wanita itu ditahan pada 10 Disember 2019 semasa pemeriksaan dokumen pasport mereka ketika penerbangan balik ke Shanghai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau.

“Selepas diperiksa kesemua wanita terbabit memasuki negeri ini tanpa mendapat ‘Cop Masuk Imigresen’ secara sah ketika tiba 4 Disember lalu” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata wanita terbabit memasuki negeri ini menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH395 dari Shanghai ke Kota Kinabalu pada 4 Disember lalu jam 6.15 pagi sebelum meneruskan penerbangan ke Tawau pada jam 7.40 pagi hari yang sama.

“Bagaimanapun kesemua wanita itu gagal melapor diri di mana-mana kaunter Imigresen khususnya kaunter transit yang disediakan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mendapatkan kebenaran masuk secara sah ke negeri ini” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka dituduh mengikut kesalahan Seksyen 24(2) Akta Imigresen 

1959/63 kerana enggan atau abai hadir di hadapan pegawai imigresen sebagaimana 

dikehendaki oleh peraturan imigresen negara ini dengan penalti.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Muhamad Sade juga berkata pihaknya akan bekerjasama dengan  Malaysia Airport Berhad (MAHB) dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi menangani masalah ini supaya tidak berulang lagi.

“Kita akan mengambil langkah proaktif dengan meletakkan peringatan dalam Bahasa Cina di pelbagai sudut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 

“Selain itu kita juga akan membuat pengumuman siaraya dalam Bahasa Cina untuk mencegah pembolosan sedemikian dari terus berlaku,” katanya.

Beliau turut menggesa kerjasama semua pihak termasuk syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan pihak kedutaan China untuk terus aktif memberi peringatan kepada pelawat-pelawat dari negara berkenaan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. –

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *