Tindakan Pantas Bomba Berjaya Elak Kebakaran Lebih Teruk Di Kampung Sembulan Baru

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam api daripada merebak ke rumah berhampiran dalam kebakaran di Lorong 12, Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu, malam tadi. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Tindakan pantas dan kecekapan anggota bomba berjaya mengekang api daripada memusnahkan lebih banyak rumah dalam kebakaran di Lorong 12, Kampung Sembulan Baru, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sebanyak empat buah rumah musnah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni sempat melarikan diri ketika api sedang marak.

Hamsa (kanan) bersama anggotanya melakukan proses memadam api membabitkan kebakaran rumah di Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

Ketua Zon I, Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.32 malam dan lapan jentera dengan kekuatan 39 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, beberapa buah rumah terbakar dan pasukan bomba kemudian melakukan pemadaman untuk mengelak api merebak ke rumah berdekatan kerana jarak antara rumah terlalu dekat.

“Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak jam 11.55 malam dan kebakaran memusnahkan empat buah rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bahan mudah terbakar kerana rumah diperbuat daripada kayu dan papan lapis selain jarak di antara rumah adalah rapat.

“Alhamdulillah, pasukan bomba dapat mengawal beberapa buah rumah berhampiran daripada terbakar.

Kebakaran rumah di Lorong 12, Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Turut membantu memadam kebakaran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.

Zulkarnain (kanan) bersama isterinya (empat dari kanan) hanya mampu melihat rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

Sementara itu, seorang mangsa Zulkarnain Iskandar, 42, berkata dia bersama isteri Rahmayanti Londing, 37, dan dua anaknya sedang siap untuk tidur dan terkejut apabila mendengar bunyi bising.

“Saya terus keluar dan lihat api marak. Ketika itu, papan dari bumbung jatuh namun saya sempat mengelak lalu membawa anak keluar.

“Isteri saya kemudian mendukung seorang lagi anak keluar menyelamatkan diri. Hanya dokumen diri yang dapat diselamatkan, barangan berharga semuanya musnah termasuk peralatan menjual makanan,” katanya yang berniaga di pasar malam Sembulan.

Jirannya, Narti Kasban, 38, berkata, dia sedang tidur bersama anak dan adiknya lalu terjaga apabila mendengar jeritan berlaku kebakaran.

Awang Husaini (tengah) meninjau lokasi kebakaran yang berlaku di Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

“Tanpa berlengah, saya membawa anak dan adik bergegas keluar daripada rumah. Ketika itu keadaan dinding rumah mula terbakar,” katanya.

Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari turut berada di lokasi kebakaran. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *