Lelaki Ditahan Bersama 5.13 Gram Syabu Di Papar

Suspek ditahan bersama dadah yang dirampas daripada suspek berusia 40-an. Foto Ihsan IPD Papar

PAPAR: Seorang Lelaki ditahan kerana memiliki 5.13 gram (g) dadah jenis syabu di Kampung Benoni, Papar, semalam.

Suspek yang berusia 40-an ditahan kira-kira 1 pagi semalam dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, ketika tangkapan itu, suspek dilihat mencurigakan dan ditahan sebelum pemeriksaan ke atasnya menemui dadah itu.

“Hasil saringan air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Batholomew berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki syabu dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

Katanya, penahanan itu sebahagian usaha pihaknya mencegah jenayah yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

“Orang ramai dinasihati supaya memberikan maklumat kepada polis berhubung kegiatan menyalahi undang-undang untuk tindakan segera,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *