PPM Tahan Dua Lelaki Tanpa Dokumen Cuba Seludup Petrol Ke Filipina

PasukanPolis Marin (PPM) menahan bot pam yang digunakan suspek kerana disyaki cuba menyeludup keluar 335 liter minyak petrol melalui kawasan Perairan Laut Boheyan, semalam. – Foto ihsan PPM

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup 335 liter minyak petrol melalui kawasan perairan Laut Boheiyan, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, sepasukan anggota bot peronda PPM berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan bot pam yang digunakan suspek kerana disyaki cuba menyeludup keluar 335 liter minyak petrol melalui kawasan Perairan Laut Boheyan, semalam. – Foto ihsan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata siasatan awal mendapati seorang juragan bersama pembantunya berusia 50 dan 20 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek membawa muatan sebanyak 16 tong pelbagai saiz yang mengandungi minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran Filipina.

“Juragan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan bersama barang rampasan termasuk bot pam bersama enjin sangkut bernilai RM4496.80 dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, dengan denda sehingga RM1 juta seorang dan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata, operasi pasukan itu sempena musim Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 dilanjutkan sehingga sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh perairan negeri ini.

“Anggota PPM komited dalam melaksanakan operasi termasuk pada musim perayaan demi memerangi jenayah rentas sempadan seperti aktiviti penyeludupan dan lain-lain,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *