Pembangunan Tidak Mampan Punca Masalah Air Di Tawau

Amarjit memberi penjelasan tentang punca berlaku masalah air di beberapa kawasan di Tawau.

KOTA KINABALU: Pembangunan yang tidak terancang menjadi punca berlaku masalah bekalan air di Kampung Jawa Kongsi 10 dan Bandar Seri Indah di Tawau sehingga menyukarkan kehidupan seharian penduduk di situ.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh berkata, tiada kajian menyeluruh yang dibuat sebelum ini terutama menilai sama ada loji air yang ada mampu menampung pertambahan jumlah pengguna yang tinggi atau pun tidak.

Amarjit berkata, banyak kediaman yang terletak di hujung penempatan dan kawasan tinggi tidak mendapat bekalan air kerana tiada pam penggalak disediakan untuk menambah tekanan air semasa pembangunan di kedua-dua kawasan dimulakan.

Berikutan itu katanya, sebagai penyelesaian, Kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah meluluskan pembinaan pam penggalak di kawasan terlibat dan ketika ini projek itu berada di peringkat penyediaan reka bentuk.

“Sebenarnya sebelum itu kawasan Kampung Jawa Kongsi 10 mendapat bekalan air cuma kawasan-kawasan yang tinggi itu tidak dapat dan loji bekalan air ini kita perolehi dari Loji Rawatan Air Utara dan kawasan kampung ini terletak di hujung sekali dalam kawasan retikulasi, maka sudahlah di hujung jadi kawasa-kawasan yang tinggi itu tidak mendapat bekalan air.

“Tetapi dalam Rancangan Malaysia Ke-8 kerajaan telah syorkan untuk buat satu pam penggalak dengan tangki air dan baru-baru ini kita bernasib baik projek ini telah mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan dan dalam peringkat menyediakan reka bentuk oleh konsultan dilantik, ini satu berita gembira kepada penduduk penduduk di Kampung Jawa Kongsi 10,” katanya ketika ditemui Borneo Today di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, sebuah rangkaian berita televisyen mempersoalkan peranan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi masalah bekalan air di situ selepas mendapat aduan penduduk kampung, namun tiada pandangan daripada JANS disiarkan.

Sehubungan itu, Amarjit menyatakan kekesalan dengan laporan tersebut yang menunjukkan seolah-olah tiada tindakan diambil sedangkan JANS telah mengambil langkah segera menghantar tangki air ke kawasan terlibat manakala kerajaan akan membina Empangan Tawau untuk penyelesaian secara tuntas.

Beliau menegaskan, kepesatan pembangunan yang berlaku di situ sejak beberapa tahun lalu tidak seimbang dengan pembangunan infrastruktur asas kerana tiada koordinasi yang baik antara pihak pemaju dengan JANS untuk memastikan kebajikan pengguna terjaga.

Maka katanya, selepas ini JANS tidak akan semudah itu memberikan kelulusan kepada mana-mana projek pembangunan komersial yang dipohon sebaliknya setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu agar menepati syarat sebelum dibenarkan.

“Kalau ikut betul sekarang pembinaan infrastruktur asas saya akan cakap pada air sangat terkebelakang berbanding dengan pembangunan domestik dengan komersial itu masalahnya saya sudah mengarahkan kebanyakkan jurutera daerah saya bila dapat permohonan kena kaji betul-betul sekarang jangan kita cuma nak pembangunan tetapi pembangunan itu bukan pembangunan mampan, maka kita kena kaji dulu sama ada kemampuan loji air kita itu masih boleh menahan atau diberikan kepada pemaju bekalan air.

“Sebenarnya saya dapati kebanyakkan projek kita ini bila konsultan buat mereka hanya dapatkan data itu secara umum sahaja JANS dari dulu dia tidak mengkaji jadi mulai 2020 JANS di peringkat ibu pejabat akan mengkaji semua permohonan baharu, semua permohonan pembangunan baru yang besar untuk kita meneliti, kita akan pastikan yang pertama kuantiti air itu mencukupi yang kedua kualiti itu pun kita perlu tengok jika tidak dapat menepati ini kita akan bagi komen,” jelas beliau.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *