Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama Rokok Seludup Bernilai RM50,000

Rokok seludup yang dirampas dalam Ops Rokok Seludup di Penampang.  – Gambar IPD Penampang

ROKOK SELUDUP RM50,000 DIRAMPAS, LELAKI WARGA ASING DITAHAN

PENAMPANG: Polis berjaya merampas pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai hampir RM50,000 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah bilik premis komersial di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata dalam serbuan pada pukul  9 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Penampang turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun.

Rokok seludup yang dirampas dalam Ops Rokok Seludup di Penampang. – Gambar IPD Penampang

“Bertindak atas maklumat orang awam, polis membuat Ops Rokok Seludup dan menyerbu sebuah bilik disyaki sebagai ‘stor’ simpanan rokok tidak bayar cukai Kastam.

“Hasilnya sebanyak 313 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM50,000 termasuk cukai dirampas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata seorang warga asing ditahan ketika serbuan bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1987.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Mohd Haris berkata sebanyak 23 keping saman dikeluarkan di atas  kesalahan masuk dan keluar di Simpang Multibake, pekan Donggonggon, di sini oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Penampang.

Mohd Haris Ibrahim.

“Kenderaan dari arah Jalan Tambunan tidak dibenarkan membelok terus ke kanan masuk ke simpang Multibake, pekan Donggongon, sebaliknya kenderaan dikehendaki terus maju ke hadapan dan membuat pusingan ‘U’ di Bulatan Siga, sebelum membelok ke kiri masuk ke simpang Multibake pekan Donggongon.

“Bagi kenderaan yang keluar dari simpang Multibake, pekan Donggongon hanya dibenarkan membelok kiri ke Jalan Tambunan. Semua jenis kenderaan tidak dibenarkan keluar membelok terus ke kanan kerana jalan itu sudah dipisahkan oleh dua garisan putih pembahagi jalan.

“Tindakan penguatkuasaan ini akan dibuat berterusan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Polis Penampang memberi nasihat kepada penduduk daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya agar terhindar dari menjadi mangsa kemalangan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *