Sedia Akses Air Bersih

Dr Anbarasu (kiri) dan Badrul meninjau kolam mengandungi bakteria E Coli,

Sejak wujud pada 1903, Kampung Suang Duyong, Pitas terletak 210 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, Sabah tidak pernah menikmati kemudahan air bersih, apatah lagi elektrik.

Sumber air utama daripada sebuah telaga dan dua kolam tanah tadahan hujan buatan. Manakala bekalan elektrik bergantung kepada penjana elektrik (generator) yang dipasang dari jam 6 petang sehingga 10 malam setiap hari dan menelan kos hampir RM300 sebulan.

Sumber pendapatan keluarga di sini yang bergantung kepada hasil hutan, laut, penghasilan kraf manik dan pertanian secara purata dalam lingkungan RM600 hingga RM1,000 sebulan.

Struktur tanah batu pasir di seluruh kampung menjadi punca tiada takungan air bawah tanah.

Jalan keluar dan masuk kampung yang digunakan majoriti penduduknya daripada suku Rungus hanya laluan ‘balak’ penuh lumpur, debu dan tanah sejauh 27km dan mengambil masa hampir dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke pekan Pitas.

Magisnya, sebaik saja masuk kampung ini, terbentang jalan berturap sejauh tiga kilometer dan tiang lampu dengan wayar yang bersambung ke rumah penduduk megah berdiri.

Malangnya, tiang berserta wayar itu hanya hiasan semata-mata sejak didirikan pada 2013 iaitu enam tahun lalu.

Ketua kampung, Marius Mokinson menyifatkan isu utama masyarakat di situ adalah masalah mendapatkan sumber air bersih.

Disebabkan tiada bekalan air bersih, mereka terpaksa bergantung kepada air dari kolam takungan tanah yang dikorek, selain air telaga dari kampung bersebelahan.

“Ada penduduk kampung yang menghidap pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, ruam dan cirit-birit kerana menggunakan sumber air kotor sejak dulu.

“Apabila kesihatan semakin teruk, kami perlu mendapatkan rawatan di hospital yang jauhnya dua jam perjalanan dari sini,” katanya.

Masyarakat di sini akhirnya beruntung apabila disantuni UMW Holdings Bhd dan Mercy Malaysia yang berganding bahu menyediakan perkhidmatan klinik kesihatan serta pergigian bergerak buat masyarakat pedalaman Sabah sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, kunjungan terakhir Mercy Malaysia ke kampung itu pada sekitar Mei lalu, melihat jumlah pesakit semakin menurun, menunjukkan kesedaran terhadap kesihatan semakin baik.

Bagi meneruskan nasib mereka terus terbela, dua entiti itu menemui kaedah lain untuk membantu masyarakat di situ.

Inisiatif itu dikenali sebagai Projek Air, Sanitasi dan Kebersihan (Water, Sanitation and Hygiene Project-WASH).

Projek ini bukan saja menyediakan air bersih untuk kegunaan harian, malah turut membabitkan pendidikan kesihatan oral dan kebersihan.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat UMW Holdings Bhd, Badrul Rahman berkata, air adalah keperluan asas dan satu perkara yang tidak dapat diterima akal apabila Malaysia yang cukup kaya dengan sumber air masih mempunyai masalah seperti ini.

“Agak mengejutkan apabila di negara kita ini masih wujud komuniti yang tidak mempunyai kemudahan untuk mendapatkan bekalan air bersih sehingga terpaksa bergantung kepada telaga dan kolam takungan yang agak kotor,” katanya.

Penduduk kampung tidak pernah mendapat kemudahan elektrik manakala tiang elektrik dan wayar yang dipacak sejak 2013.

Sebagai langkah mengenal pasti sumber air bersih, pihaknya menjalankan uji kaji di kawasan sekitar perkampungan.

Hasil uji kaji, sistem air graviti tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan tanah yang rata.

Manakala usaha untuk menaik taraf kolam takungan sedia pula tidak dapat dilakukan kerana kandungan air dalam beberapa kolam terbabit mempunyai bakteria E. Coli selain kehadiran unsur racun serangga dan logam berat yang membahayakan kesihatan.

“Selepas membaca laporan daripada Jabatan Meteorologi, kami akhirnya bersepakat untuk mewujudkan sistem tuai air hujan di setiap rumah di sini,” katanya.

Sebanyak 38 rumah dengan jumlah penduduk lebih 160 orang akan menikmati kemudahan tangki dengan kapasiti 800 gelen dari dua tangki tadahan hujan.

Air simpanan ini dijangka dapat bertahan tiga minggu dengan anggaran penggunaan 20 liter sehari untuk setiap rumah.

“Objektif utama projek ini adalah untuk memberikan sumber air tambahan mencukupi 800 gelen kepada penduduk kampung.

“Sekiranya sebuah rumah sudah ada tangki berkapasiti 200 gelen, kami akan tambah 600 gelen supaya cukup 800 gelen dan begitulah seterusnya,” kata Badrul.

Selain itu, syarikat berkenaan turut bersetuju menyediakan sistem sumber air tambahan bersepadu yang terdiri daripada 10 tangki kapasiti 5,000 gelen yang boleh digunakan sesiapa saja.

Pengerusi Mercy Malaysia Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam berkata, penduduk kampung di situ diajar cara menyelenggara tangki dan sistem yang sudah dipasang.

Ia termasuk cara menukar sistem tapisan dan mencuci kotoran supaya sistem yang ada berjalan sempurna.

“Tangki yang disediakan bukan saja akan menjadi sumber air untuk kegunaan harian malah dengan adanya sumber air bersih, kehidupan mereka juga akan bertambah baik. Ia termasuk kebersihan diri dan kesihatan mereka dari generasi ke generasi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *