Kertas Kabinet Pemberian PSS Dijangka Dibentang Awal Tahun Depan – Madius

RANAU, 25 Dis: Kertas Kabinet berhubung pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dijangka dibentangkan ke Kabinet negeri awal tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata perbincangan meja bulat telah diadakan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini bagi membincangkan perkara yang perlu diambil sebelum pelaksanaan PSS pada 1 Jun tahun depan.

Rakyat perlu faham bahawa langkah pemberian PSS itu adalah untuk menyelesaikan masalah PATI di negeri ini, kata Madius yang juga presiden Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO, di Dewan Masyarakat Ranau, di sini hari ini.

“Ia perlu dilihat dalam dua sudut iaitu memang ada PATI di Sabah dan itu adalah jelas. Jika mereka adalah PATI, mereka yang ditangkap akan dihantar (ke negara asal) tanpa kompromi. Tetapi ada pendatang asing yang berada di Sabah dengan ‘izin’ iaitu pelarian perang Filipina yang berada di sini sejak tahun 70-an.

“Oleh sebab itu, perbincangan dan persoalan tidak harus ditumpukan kepada PSS sahaja tetapi bagaimana mencari penyelesaian tuntas tentang keberadaan pendatang asing di Sabah termasuk pelarian perang Filipina,” katanya.

Madius berkata setelah sekian lama, masalah itu semakin kompleks apabila pelarian perang itu telah berkeluarga selain menetap di Sabah dan pemberian PSS membolehkan mereka mempunyai dokumen.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga akan diminta untuk membuat kertas Kabinet jika ada keperluan untuk mewujudkan peraturan-peraturan tertentu dalam menangani isu berkenaan.

Pada 6 Sept lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun 2020 untuk menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *