Budak Lelaki 2 Tahun Maut Jatuh Dari Rumah Atas Laut

Lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut di Kampung Patau-Patau 1, Labuan

LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam laut dari rumah neneknya yang terletak di perkampungan atas air di Kampung Patau-Patau 1, di sini petang semalam.

Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan berusia dua tahun ditemui terapung di dalam air di bawah rumah neneknya oleh keluarganya pada pukul 5.30 petang.

Beranda yang menjadi tempat permainan mangsa sebelum jatuh ke dalam laut dan ditemukan lemas.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata siasatan awal mendapati mangsa  ditinggalkan sementara di rumah neneknya kerana ibu bapa kanak-kanak itu keluar ke bandar untuk menyelesaikan beberapa urusan di bank. 

“Mangsa dijaga oleh seorang perempuan berusia 20 tahun yang juga adik ipar kepada bapa mangsa. Adik iparnya tidak sedar bahawa mangsa bermain di beranda dan terjatuh ke dalam laut. 

“Kejadian hanya disedari apabila seorang lagi adik ipar lelaki bapa mangsa yang baru sahaja pulang dari kerja dan melihat mangsa terapung di bawah rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Farid berkata mangsa kemudiannya cuba diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Nuklues Labuan untuk tindakan lanjut. 

Bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. 

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *