Tiada Lagi Jalan Berlumpur, RM380 Juta Bina Jalan Raya Di Pagalungan

NABAWAN: Tiada lagi laluan berlumpur seperti laluan acara lasak bagi pacuan empat roda yang perlu diharungi ribuan penduduk di beberapa kampung di daerah ini apabila pembinaan jalan raya menghubungkan Kampung (Kg) Salong dan Kg Pagalungan siap dibina.

Keluhan lebih 1,000 penduduk yang dahagakan akses jalan raya yang baik akhirnya didengari apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah RM380 juta bagi membina jalan raya di kawasan tersebut.

Menteri Pembangunan Infrstruktur Datuk Peter Anthony berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan itu bagi membina jalan raya sepanjang 35 kilometer bagi menghubungkan kedua-dua kampung berkenaan.

Pembinaan jalan raya yang akan bermula pada Mei 2020 itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Penyiapan jalan itu dilihat akan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi hampir 10,000 penduduk di daerah ini.

“Selain pembinaan jalan baharu itu, kerajaan turut membina enam jambatan konkrit di sepanjang laluan berkenaan.

“Kesemua enam jambatan ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan perahu dan enjin sangkut kepada penduduk di daerah itu, di Dewan Terbuka Kg Pagalungan, Nabawan, di sini pada Ahad.

Jika dilihat laluan utama di Pagalungan yang merupakan sebuah kampung yang terpencil ini seumpama laluan bagi perlumbaan lasak pacuan empat roda. Laluan itu penuh dengan jurang dan lubang besar.

Namun itulah laluan yang digunakan lebih seribu penduduk untuk urusan harian.

Laluan mencabar ini digunakan turut digunakan oleh penduduk di tujuh buah kampung iaitu Kg Sumatoh, Kg Saliku, Kg Sasandukon, Kg Longongon, Kg Sibuah, Kg Kakutar dan Kg Kuala Sumatalun.

Terdahulu dalam ucapannya, Peter berkata, daerah kecil Pagalungan juga akan turut menerima impak positif daripada pemindahan Ibu Negara Indonesia ke Kalimatan Timur.

Ini kerana Pangalungan antara laluan dari Sabah ke Indonesia melalui Sungai Tahol dari Pengkalan Salong.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *