Tanah Runtuh: Terpaksa Guna Laluan Alternatif, Jalan Utama Terjejas

KERJA pembersihan laluan jalan raya masih dijalankan di lokasi yang terjejas akibat runtuhan bukit sejak 21 Disember lalu yang menghubungkan Kampung Kiau Nulu dan Kampung Kiau Bersatu di Kota Belud. Gambar Ihsan Pembaca.

KOTA BELUD: Lebih 1,000 penduduk di dua kampung, di sini terpaksa menggunakan lorong pejalan kaki sebagai laluan alternatif selepas jalan raya menghubungkan kampung mereka terjejas akibat runtuhan bukit sejak 21 Disember lalu.

Difahamkan, hujan berterusan di Kampung Kiau Nulu dan Kampung Kiau Bersatu menyebabkan berlaku insiden runtuhan tanah dari kawasan bukit berhampiran sehingga menutup jalan raya di penempatan itu.

Ketua Kampung Kiau Toburi, Liam Sumbin, berkata ketiadaan laluan alternatif selepas gempa bumi pada 2015 lalu menyebabkan penduduk terpaksa bergotong-royong membina laluan baru untuk pejalan kaki di tebing gaung.

“Penduduk membersihkan laluan, selain memasang tali pada pokok dan membina tangga untuk melintasi lokasi runtuhan. Kemudian, penduduk akan kembali menaiki kenderaan lain untuk berulang alik ke kampung atau ke Pekan Kota Belud, Ranau dan Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut Liam, bermula dari simpang Jalan Tamparuli – Ranau, laluan memasuki kampung itu adalah sejauh dua kilometer.

“Keadaan ini membimbangkan penduduk, lebih-lebih lagi ada dua majlis perkahwinan akan berlangsung pada 27 dan 28 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera JKR Kota Belud, Sadian Mindou, berkata sebaik menerima aduan penduduk berhubung kejadian pada 21 Disember lalu, pihaknya dengan kerjasama syarikat konsesi menjalankan kerja pembersihan.

“Setakat ini, usaha membersihkan laluan jalan raya masih dijalankan dan pekerja harus berhati-hati disebabkan cuaca hujan tidak menentu dan boleh menyebabkan kejadian berulang,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *