Sabah Perlu Tadbir Urus Baik Untuk Hapuskan PTI

Antara PATI yang dihantar pulang ke negera asal melalui Pelabukan Sandakan – Gambar MKN Sabah

KOTA KINABALU, 23 Dis: Sabah perlu amalkan tadbir urus kerajaan yang baik, jika mereka serius dalam hapuskan isu pendatang tanpa izin (PTI), tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu berkata partinya dapat merasakan gerak nadi rakyat Malaysia di Sabah, yang mahu kehidupan yang aman dan berasa selamat di negeri mereka sendiri.

“Rakyat Malaysia di Sabah mahu merasa selamat, kami mahukan ketenangan fikiran, kami mahu berasa berada di negeri sendiri di Sabah. Kami semua idamkan kesemua itu, tetapi pada tahap tertentu ianya terhalang akibat kehadiran mereka (PTI).

“Bagaimana kita boleh merasa tenang, jika kita seperti menjadi orang asing di tempat kita sendiri? Komen sedemikian boleh didengari setiap hari… dan saya bersetuju sepenuhnya dengan mereka. UPKO komited kepada usaha untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berkaitan isu cadangan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS), Tangau berkata ketika orang ramai mahukan isu PTI ini diselesaikan, mereka juga mahukan pihak berkuasa untuk telus mengenainya termasuk mengadakan sesi libat urus sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perlu ada tadbir urus yang baik; perlu ada kertas kabinet oleh kedua-dua pihak iaitu Putrajaya dan negeri, sebelum sebarang polisi diumumkan. Setakat ini, tiada kertas kabinet. Kami mahu menjadi sebahagian daripada solusi. Mari lakukannya dengan integriti. Mari lakukannya dengan tadbir urus yang baik.

“Pada UPKO, akhirnya semua orang di Sabah perlu ada kad pengenalan yang sah. Pendatang asing perlu ada pasport antarabangsa jika mereka mahu berada di Sabah, jika tidak mereka akan dihantar pulang. Tidak ada cara lain mengenainya,” katanya.

Tangau berkata PSS hanyalah salah satu daripada cara penyelesaian yang dicadangkan untuk isu berkenaan; “Kami di UPKO berpegang kepada keputusan bahawa cara terbaik untuk menghapuskan pendatang tanpa izin adalah dengan mengambil balik kad pengenalan terbabit dan mengeluarkannya semula selepas disahkan oleh kesemua pihak berkepentingan,” katanya.

PSS akan mengantikan tiga dokumen kepada pendatang asing yang tinggal di Sabah, iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung, dengan dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *