Lebih 50 Pelajar Kurang Berkemampuan Di Penampang Ceria Beli Kelengkapan Sekolah

Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang

PENAMPANG: Seramai 55 pelajar kurang berkemampuan di sekitar daerah ini mengukir senyuman manis dan sangat teruja, ketika membeli belah kelengkapan sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2020 yang bermula Jan ini, bersama ibu bapa mereka di sebuah pasar raya besar dekat sini, hari ini.

Kesemua pelajar itu diraikan dalam Program Kembali ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan memerlukan, sekali gus memastikan pelajar terbabit bersemangat kembali memulakan persekolahan.

Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang

Setiap seorang pelajar diperuntukkan RM200 bagi membeli pakaian seragam sekolah, kasut, beg sekolah, buku serta peralatan menulis, dan kesemua mereka terpilih menerima sumbangan itu, selepas pusat khidmat rakyat tersebut dengan kerjasama pihak sekolah mengenal pasti kelayakan mereka.

Kanak-kanak yang ditemui Bernama menzahirkan kegembiraan, kerana menerima sumbangan itu, malah ada antaranya menyifatkan ia sebagai hadiah Hari Krismas.

Seorang penerima Jeycline Jayce, 10, berkata dia berasa senang hati dan gembira menerimanya, kerana dapat berpakaian serba baharu pada hari pertama persekolahan nanti, seperti rakan-rakannya yang lain.

Saya rasa ini adalah hadiah Krismas untuk saya. Saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya yang ditemani ibunya Jeyline Lodukim, 36, ketika membeli belah di pasar raya berkenaan.

Perasaan gembira itu turut dirasai sepasang kembar berumur 10 tahun iaitu Jalyndra Anntte Jerad dan Jaysandra Hazel Jared, apabila kedua-duanya turut tidak melepaskan peluang, memilih kelengkapan sekolah ditemani ibu mereka Sofiah Maradu, 40, yang merupakan seorang ibu tunggal.

Sofiah berkata sumbangan itu amat bermakna, kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban memandangkan dia mempunyai lima anak masih bersekolah, dan kesemuanya memerlukan perhatian.

Meskipun anak sulungnya sentiasa membantu melengkapkan keperluan mereka sekeluarga, namun, Sofiah yang hanya bekerja membantu ibu saudaranya yang berniaga kecil-kecilan dengan upah RM35 sehari itu, masih kurang berkemampuan, memandangkan dia perlu menyara seramai 11 anak.

“Setiap tahun, persiapan sekolah untuk kelima-lima anak saya itu lebih RM1,000. Bantuan pada hari ini boleh mengurangkan beban saya, dan saya sangat menghargainya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata program CSR ini adalah kali kedua dianjurkan, selepas kali pertama pada tahun lepas dengan seramai 30 penerima.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha memastikan bantuan persekolahan dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat di Penampang, bagaimanapun ia akan dilakukan secara berperingkat, termasuk membantu menambah baik bangunan dan peralatan sekolah demi keselesaan pelajar.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *