Cemburu Kasih Sayang ‘Dibahagi’, Lelaki Tikam Isteri, Bayi Sehingga Maut

Seorang ayah yang dipercayai cemburu terhadap anak sendiri bertindak menikam bayi lelakinya berusia tiga minggu dan isteri sehingga berlumuran darah.

Denis Beytula dikatakan menikam bayinya, Andrei Stefan dua kali di rumah mereka di Portland Close, Wallsend, North Tyneside sebelum menikam isterinya, Andreea Stefan enam kali.

Pengakuan Denis dirakam kamera yang dilekatkan pada badan polis. (Gambar: Daily Mail)

Menurut Daily Mail, Denis menganggap bayi berkenaan sebagai ‘saingan’ kasih sayang si isteri, membuatkannya bertindak kejam terhadap kedua-dua mangsa.

“Saya baru bunuh bayi dan isteri saya,” kata Denis ketika menelefon polis.

Ketika polis dan ambulans tiba di lokasi kejadian, Denis sekali lagi membuat pengakuan berkenaan sambil dirakam kamera pada badan anggota polis.

Polis yang memasuki rumah suspek menemui bayi berkenaan menangis dalam keadaan berdarah dan cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal.

Isteri suspek ditemui di atas lantai dengan wajah pucat dan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman.

Wanita dan bayinya itu kemudiannya dibawa ke hospital, namun malangnya bayi berkenaan maut empat hari kemudian manakala ibunya berjaya diselamatkan.

Muat naik status Facebook

Beberapa ketika sebelum tragedi berkenaan, wanita itu dikatakan telah memuat naik gambar di akaun Facebook miliknya yang tertulis;

Kredit: Daily Mail

“Saya meminta tuhan agar menghantar saya lelaki yang akan sentiasa menyayangi saya, jadi Dia berikan saya anak lelaki,” tulis Andreea.

Ditikam enam kali tidak sesakit kehilangan anak

Kata Andreea, Denis sepatutnya menjadi lelaki yang menyayangi dia bersama anaknya. Namun, sebaliknya berlaku.

“Denis sepatutnya menjadi lelaki yang menyayangi saya dan anak saya. Dia sepatutnya menjaga dan melindungi kami.

“Tapi dalam sekelip mata dia menghancurkan dunia saya. Dalam satu detik hati saya hancur dan mimpi terburuk saya menjadi kenyataan.

“Saya masih ingat Andrei dibawa kepada saya di hospital agar saya dapat mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Saya menderita enam tikaman dan mengalami pendarahan dalaman tetapi kesakitan itu tidak setanding dengan hancurnya hati saya.

“Saya tak akan pernah dapat lihat dia membesar, berkawan, ke sekolah atau berkahwin. Tiada ibu bapa yang patut menghadiri pengebumian anaknya atau melihat bayi mereka di dalam keranda.

“Setiap detik hidup saya sejak hari itu, saya mencari sebab yang memungkinkan ianya tidak berlaku.

Hubungan toksik

Rumah yang menjadi lokasi serangan berkenaan. (Gambar: Daily Mail)

“Saya menyalahkan diri sendiri tidak putus lebih awal dengan Denis, tetapi hanya mereka yang pernah berada dalam perhubungan yang terkongkong sahaja akan faham kenapa saya tetap bersamanya.

“Dia membuatkan saya rasa seakan-akan saya tidak dapat mencari orang yang lebih baik dan tiada sesiapa boleh menjadi ayah kepada anak kami. Dia memanipulasi saya dan berkata segalanya yang dia lakukan adalah kerana cinta.

“Tetapi kini saya tahu apa yang dia lakukan kepada saya bukan cinta. Cinta tidak mengawal kamu, cinta tak mengugut kamu dan cinta tidak membunuh bayi.

“Denis jadikan saya mangsa, saya jadikan diri sendiri sebagai pejuang.

“Tiada hukuman yang setimpal diberikan mahkamah kepadanya. Bila anak saya meninggal, dia masih bernafas di dalam penjara.

“Saya tak akan maafkan dia,” luah Andreea.

Denis berdepan hukuman sekurang-kurangnya 23 tahun penjara atas kesalahan tersebut.

Sumber: Daily Mail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *