PBS Tolak Jemputan UPKO Untuk Hadir Perbincangan Meja Bulat MKN Tentang PSS

Datuk Jahid Jahim.

KOTA KINABALU: PBS menolak jemputan Upko untuk hadir dalam perbincangan meja bulat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Pas Sementara Sabah (PSS) pagi esok.

Setiausaha Agung Datuk Jahid Jahim berkata beliau telah arahkan ibu pejabat PBS untuk menolak jemputan yang diterima secara rasmi pada 16 Disember lalu dan beliau sendiri turut akan memaklumkan perkara itu kepada Upko.

“Kita menolak oleh kerana PBS telah lama membuat pendirian mengenai PSS dan kita katakan ‘Tidak’ kepada PSS. Kita telah awal lagi menyatakan bantahan terhadap PSS dalam sesi Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

“Dalam erti kata lain, perbincangan meja bulat tersebut mungkin hanyalah bertujuan bagi meyakinkan orang ramai untuk menerima PSS dan bukan mendapatkan input atau pandangan daripada orang ramai,” kata Jahid.

Menurut Jahid, PBS turut berhati-hati untuk hadir dalam forum bagi membincangkan tentang perkara yang mana keputusan telah pun dibuat.

“Kementerian Dalam Negeri, seperti mana diperjelaskan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, kini sedang mengadakan jelajah untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan PSS,” katanya.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli berkata bantahan PBS amat jelas dan pemimpin Upko dialu-alukan mendengar atau membaca ucapan para pemimpin PBS yang dibuat di Parlimen dan Dun.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung Upko Nelson Angang mengenai jemputan untuk PBS ke perbincangan meja bulat dengan MKN itu hari ini, Jahid berkata bekas presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut menolak cadangan pengenalan PSS.

“Bagaimanapun, kami ucapkan selamat maju jaya kepada Upko dan semoga perbincangan meja bulat dengan MKN akan dapat membantu menambah apa yang perlu kepada cadangan kami,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *