Bantah PSS: Taktik Pembangkang Teruskan Kelangsungan Politik – Peter

TENOM, 21 Dis: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony menyifatkan tindakan pihak pembangkang membantah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), sebagai taktik meneruskan kelangsungan politik.

Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata pembangkang juga dilihat seolah-olah menjadikan pelaksanaan PSS sebagai modal, untuk membantah setiap tindakan baik dilakukan kerajaan.

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

“Saya percaya mereka (pembangkang) sebenarnya faham tentang kepentingan PSS ini, namun berpura-pura tidak faham dan jadikan ia modal demi kelangsungan politik mereka.

“Tapi saya percaya rata-rata orang Sabah tahu siapa sebenarnya mereka ini. Saya percaya lambat laun, mereka akan menerima juga pelaksanaan PSS ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Krismas Pusat Daerah Mengundi Pamilaan di Kampung Ulu Tipoh, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tindakan pembangkang yang membantah pelaksanaan PSS di Sabah.

Peter berkata PSS adalah bukti komitmen kerajaan pimpinan Warisan dan Pakatan Harapan dalam menangani masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

Beliau berkata kegagalan kerajaan terdahulu mencari kaedah penyelesaian terbaik kepada masalah PTI seharusnya membuka mata rakyat mengenai kepentingan pelaksanaan PSS ini.

“Pelaksanaan PSS ini adalah baik, kerana ia membolehkan kerajaan mendapat maklumat terperinci mengenai keberadaan pemegang pas, termasuk tempat mereka bekerja kerana ia mempunyai mikro cip keselamatan,” katanya.

Pada September lepas, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan memperkenalkan PSS bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di Sabah pada tahun hadapan.

Tiga dokumen dimaksudkan adalah Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IMM13.

Pengeluaran kad PSS itu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 dengan kriterianya juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *