Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan Sehingga 6 Januari 2020

KOTA KINABALU, 21 Dis: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir 22 Dis (Ahad), dilanjutkan sehingga 6 Jan depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan hari ini berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata dengan berkuat kuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *