Kadoh Agundong Tinggalkan PBRS Sertai Warisan

Kadoh Agundon, formerly of PBS, is reported to have applied to join Warisan. (Kadoh pic)

TENOM: Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Kadoh Agundong mengisytiharkan keluar daripada parti itu untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini.

Kadoh yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony semasa Majlis Santai Krismas Pusat Daerah Mengundi Pamilaan di Kampung Ulu Tipoh, Tenom petang tadi.

Kadoh, 70, yang pernah menjawat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah semasa era pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dengan perjuangan Warisan yang berjuang demi kepentingan semua kaum di Sabah.

Katanya, rakyat Sabah tidak mahukan politik kebencian dan perlu membantu serta meneruskan sokongan kepada wakil rakyat pada hari ini agar mereka dapat berkhidmat kepada rakyat termasuk di peringkat  akar umbi.

Kadoh dikenali sebagai ‘giant killer’ kerana pernah menewaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Mohd. Salleh semasa pemerintahan Parti Berjaya dalam pilihan raya negeri Sabah pada 1985 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenom.

Sementara itu, Peter berkata, penyertaan mantan Naib Presiden PBRS itu ke dalam Warisan amat dialu-alukan.

Beliau berkata, Kadoh terbuka hati menyertai Warisan kerana ingin bersama-sama membangunkan dan memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“Kita alu-alukan kemasukan ini kerana kita tahu Kadoh mempunyai pengalaman yang luas dan itu akan membantu kita.

“Saya sangat berbesar hati dengan kemasukan beliau ke dalam Warisan, beliau merupakan bekas ADUN Tenom,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Peter juga percaya lebih ramai lagi pemimpin yang akan mengikut jejak langkah Kadoh untuk menyertai Warisan kerana di Sabah, rakyat inginkan parti tempatan seperti Warisan yang terbuka untuk semua kaum dan bangsa.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *