Cerita Manis Kembali Bergema Di Kimanis

Mungkin berlaku persaingan tiga hingga enam penjuru

Tembikai paling manis ada di Kimanis. Hakikat sukar dipertikai. Barangkali kebetulan ditanam di tanah semanis namanya – Kimanis. Sepanjang pinggiran Jalan Kimanis, berderetan gerai jualan tembikai, seolah melambai untuk disinggahi,  santai merasa manisnya melegakan dahaga panas panahan sang mentari.

SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

Geografi Kimanis unik dan menarik. Ia memiliki khazanah alam — pantai dan laut, air terjun dan bukit, alur sungai dan tasik, tanah paya dan dataran —  mengunjur jauh dari sempadan dua daerah Papar dan Beaufort di Pantai Barat Sabah.

Tanah berpasir menghadap laut dibangun kebun tembikai, kawasan datar berpaya ditanami padi, bukitnya berpokok getah dan sawit — semuanya menjadi nadi ekonomi Kimanis — dipacu projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) sebagai ikon kekuatan baharu yang menyinari landskap pembangunan kawasan ini.

Hari ini, cerita manis-manis kembali bergema di Kimanis. Bukan sekadar kisah manis tembikainya, tapi soal kata-kata manis mengungkap cerita politik dan kepartian. Antara survival siasah, retorik dan provokasi, mahupun soal naratif perjuangan fajar 2020.

KARIM BUJANG
KARIM BUJANG

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari depan, bakal menjadikan kawasan ini tumpuan seluruh negara — gelangggang bagi pesilat-pesilat politik mengukur kekuatan merebut trofi kejuaraan memenangi hati rakyat.

Baik pemerintah mahupun pembangkang, keduanya pasti berebut untuk melakar cipta sejarah manis seindah namanya Kimanis. Tapi dalam adat persaingan, juaranya hanya satu. Tidak mungkin dua. Jauh sekali tiga pemenang.

Persoalannya, siapa antara mereka?

Proses penamaan calon ditetapkan 4 Januari, kira-kira dua minggu ke hadapan. Manakala pengundian awal 14 Januari, sebelum hari penentuan 18 Januari — melibatkan 29,664 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehingga kini, belum dapat diramalkan jumlah penjuru saingan. Tapi berkemungkinan minimum tiga penjuru dan maksimum enam penjuru.

ARIFIN ARIF
ARIFIN ARIF

Selain parti pemerintah WARISAN dan pembangkang utama UMNO yang mengesahkan bertanding semula di situ, beberapa pembangkang tempatan juga mengintai peluang, membayangkan keinginan mengambil bahagian atas alasan memenuhi kehendak dan sentimen akar-umbi.

Ketua Menteri merangkap Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, awal-awal lagi mengesahkan parti itu akan bertanding semula dalam PRK Kimanis, malah persiapan mengenainya sudah dibuat jauh lebih awal.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Ketua WARISAN Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang, yang bertanding di situ dalam PRU-14 ditampilkan semula pada kali ini.

JEFFREY KITINGAN
JEFFREY KITINGAN

“Saya maklumkan kepada semua, apabila sampai masanya kita letakkan calon, semua jentera parti dan komponan perlu beri sokongan.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut dimaklumkan mengenai persediaan dan keputusan Pakatan Harapan (PH). Beliau (Mahathir) bersetuju dan menyokong calon dari parti WARISAN,” katanya dalam ulasan selepas menghadiri Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Putrajaya pada Isnin lalu, iaitu hari sama SPR bermesyuarat dan mengumumkan tarikh PRK Parlimen Kimanis.

Penganalisis politik meramalkan Karim Bujang, yang tewas kepada Datuk Seri Anifah Aman di Kimanis dalam PRU-14, hampir pasti ditampilkan semula pada kali ini.

Peluangnya dicalonkan dikatakan 99 peratus. Baki satu peratus lagi hanyalah kemungkinan-kemungkinan luar jangka pada saat-saat akhir.

MOHAMAD ALAMIN
MOHAMAD ALAMIN

Malah, penyokong tegar Karim sudah pun beraksi di alam maya. Antaranya mewujudkan laman facebook `Kimanis Memilih’ beserta potretnya dengan slogan `Datuk Karim Bujang – Calon WARISAN, Kehendak Rakyat’.

Laman itu antara lain memaparkan aktiviti mutakhir Karim, termasuk bertemu penduduk setempat dan melawat mangsa banjir di Membakut (salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Kimanis. Satu lagi DUN ialah Bongawan).

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan UMNO-BN akan meletakkan calon dalam PRK Kimanis dan mengenal pasti beberapa nama untuk ditampilkan.

ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN

Antara nama yang disebut-sebut berkemungkinan dicalonkan UMNO termasuk Ketua Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sendiri, selain berkemungkinan juga Anifah sendiri kembali ke pangkuan UMNO dan bertanding sekali lagi. 

Bagaimanapun, Mohamad dan Anifah sehingga kini masih membisu. Begitu pun, ada ura-ura menyebut kemungkinan ditampilkan pemimpin muda seperti dari sayap Pemuda, Puteri atau Wanita UMNO Kimanis dicalonkan oleh parti itu.

MOKTAR RADIN
MOKTAR RADIN

Laporan terbaru pula menyebut Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mendakwa ada mengadakan perbincangan dengan Anifah baru-baru ini dan menyatakan bahawa bekas Menteri Luar itu tidak akan bertanding dalam PRK Kimanis.

Menurut Dr Jeffrey, beliau (Anifah) memberikan alasan hanya mahu bertanding dalam PRU-15. Namun, Anifah yang kini berada di luar negara akan kembali sebelum hari penamaan calon 4 Januari ini.

Sebaliknya, Dr Jeffrey membayangkan kemungkinan partinya bertanding di Kimanis walaupun pada mulanya tidak berminat untuk mengambil bahagian.

Beliau menjelaskan bahawa kemungkinan bertanding itu ada disebabkan permintaan daripada penyokong akar-umbi, yang mendakwa mempunyai peluang cerah jika berlaku persaingan lebih daripada tiga penjuru.

CHRISTINA LIEW

Namun, sehingga kini belum ada keputusan muktamad diambil. Yang penting, katanya, parti mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang awalnya membayangkan minat mewakili kerajaan dalam PRK Kimanis, akhirnya akur bahawa kerusi itu seharusnya milik WARISAN, yang berjuang menuntutnya sejak pasca PRU-14 lalu.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan, ketika mengesahkan perkara itu turut mengisytiharkan BERSATU Sabah akan membantu kempen WARISAN bagi memastikan kemenangan besar dalam PRK kali ini.

Sehubungan itu, ktanya, BERSATU Sabah akan turun padang membantu WARISAN sepanjang kempen nanti, sekaligus membuktikan bahawa BERSATU Sabah tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan WARISAN yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bagi membuktikannya, Ketua BERSATU Bahagian Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif, yang juga ADUN Membakut kini terus gigih mengakrabi rakyat akar-umbi, apatah lagi kawasan itu dilanda musibah banjir baru-baru ini.

Menerusi catatan dalam facebooknya, Ariffin saban hari turun padang mendekati rakyat pelbagai peringkat.

Selain BERSATU, satu lagi parti gabungan kerajaan, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan secara terbuka kesediaan memberi kerjasama penuh serta sokongan kepada WARISAN dalam menghadapi PRK Kimanis.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Christina Liew berkata, pihaknya komited memberi sokongan kepada siapa pun calon yang dipilih oleh WARISAN untuk bertanding nanti.

“Kami akan beri sokongan dan kerjasama penuh agar calon yang ditentukan meraih kemenangan besar dalam PRK nanti,” katanya.

Penganalisis politik berpendapat PRK Kimanis besar signifikannya kepada persada politik nasional meski keputusannya tiga mungkin mengubah status-quo Parlimen.

Semua pihak perlu mengambil iktibar, muhasabah dan berpada-pada walaupun mungkin ada menganggap PRK Kimanis ini adalah perjuangan politik `antara hidup dan mati’.

 Karim (tengah) bersama pimpinan WARISAN dan PKR bergambar ketika menghadiri Program Rakyat Bersama Pemimpin di Kampung Sumbiling, Bongawan.
PERJUANGAN: Karim (tengah) bersama pimpinan WARISAN dan PKR bergambar ketika menghadiri Program Rakyat Bersama Pemimpin di Kampung Sumbiling, Bongawan.

Baik di sebelah mana pun, janganlah bercakap besar, nanti akhirnya kalah besar — pengalaman dari dua PRK Sandakan dan Tanjung Piai.

Yang penting, jangan hilang fokus tika bermain politik. Mesti ada had dan batas, jaga adab dan susila, jangan sampai terbabas. Bersama menjaga harmoni agar negeri kekal lestari.

Sumber : Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *