Bersatu Sabah Komited Bantu Calon Warisan Hadapi PRK Kimanis

PUTATAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah sedia bekerjasama dalam memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis tahun depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata pihaknya sudah menubuhkan serta membentuk jentera pilihan raya termasuklah Armada dan Srikandi bagi menghadapi PRK yang akan datang.

Hajiji (kiri) melawat gerai jualan yang terdapat sempena Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah di Putatan. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Bersatu adalah salah parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) serta parti yang mesra dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan Warisan. Oleh itu, kerjasama ini ibarat tanggungjawab parti bagi memastikan kemenangan menyebelahi calon Warisan demi kestabilan politik di Sabah.

“Malah jentera kita sudah aktif masuk ke kawasan kampung-kampung walaupun penamaan calon belum dilaksanakan supaya rakyat memberikan sokongan ke atas calon yang kita pertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah di sini, hari ini.

Ditanya mengenai strategi Bersatu menjelang PRK Kimanis, Hajiji menyatakan pelbagai strategi boleh dilaksanakan bagi mendapatkan sokongan rakyat namun paling penting kerjasama semua pihak untuk turun padang dan berkempen.

Hajiji ( kanan) melakukan simbolik perasmian Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah di Putatan. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata perjuangan parti itu adalah membantu rakyat serta mendengar masalah mereka malah cuba menyelesaikannya sebaik mungkin.

Tambahan pula katanya, selaku kerajaan negeri pihaknya beranggapan bahawa calon Warisan mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

Hajiji menyatakan keadaan politik negeri dan negara yang stabil membolehkan kerajaan negeri mahupun Persekutuan dapat melaksanakan banyak program pembangunan untuk kebaikan rakyat.

Hajiji (kiri) melawat gerai jualan yang terdapat sempena Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah di Putatan. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Pelbagai dasar baru juga sudah dirancang oleh  kerajaan selepas pilihan raya umum yang memerlukan masa untuk direalisasikan bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini adalah pendirian Bersatu yang mahu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat.

“Iltizam kerajaan PH ini harus disokong rakyat dalam mengukuhkan kestabilan politik selain meningkatkan kemakmuran negara.

“WKB 2030 sebagai hala tuju negara bagi tempoh 2021-2030 turut memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa,” katanya.

Hajiji (tengah) bersama ahli Bersatu Sabah bahagian Putatan sempena perasmian Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah. -Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

Sementara itu, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman menyatakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Warisan perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada pembangunan negeri Sabah serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Katanya semua pihak perlu memberikan peluang kepada kerajaan Warisan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat negeri ini. – SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *