150,000 Keahlian Baharu Menjelang Ulangtahun Pertama Bersatu Di Sabah: Hajiji

PUTATAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menjangkakan memperolehi lebih 150,000 keahlian menjelang ulangtahun pertama penubuhan part itu di negeri ini pada April tahun depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata pihaknya ketika ini sudah mempunyai hampir 100,000 ahli dan jumlah berkenaan terus bertambah daripada semasa ke semasa.

“Kita menerima banyak permohonan ahli baru setiap hari namun terdapat sedikit kelewatan berkaitan kemasukan di dalam sistem.

“Melihat pertambahan yang kian bertambah ini, tidak mustahil Bersatu Sabah mampu terus berkembang keahliannya malah setakat ini Sabah adalah negeri paling ramai ahli Bersatu di seluruh negara,” katanya  pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pemimpin Bersatu Sabah peringkat bahagian Putatan di sini, hari ini.

Dihadiri lebih 1,000 ahli Bersatu Bahagian Putatan, siri jelajah terbabit adalah lokasi kelapan selepas Sipitang, Penampang, Tuaran, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan; Bendahari Bersatu Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Bersatu Bahagian Putatan, Datuk Seri Dr Arsit Sedi; Ketua Armada Bersatu Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit dan Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Amisah Yassin.

Menjawab pertanyaan sama aaa jumlah ahli Bersatu yang dinyatakan adalah sebahagiannya bekas ahli Umno, Hajiji tidak menafikan perkara tersebut tetapi turut menyatakan bukan semua ahli Bersatu merupakan bekas ahli Umno.

“Saya tidak mempunyai jumlah secara keseluruhannya tetapi di Tuaran sahaja mungkin dalam 80 peratus ahli Bersatu ialah bekas Umno dan selebihnya individu profesional yang tidak pernah menjadi ahli parti sebelum ini.

“Ramai yang keluar Umno adalah wakil rakyat serta ketua bahagian. Setiap dari mereka mempunyai penyokong tersendiri di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata jelajah berkenaan bakal diteruskan ke bahagian Kota Belud pada 22 Disember (esok) dan berterusan hingga ke 25 bahagian di seluruh negeri.

Katanya program jelajah tersebut dijangka selesai sepenuhnya pada April atau Mei depan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *