Perkhidmatan Bas Percuma Di Sabah Akan Dipertimbangkan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas henti-henti percuma di Sabah dan Sarawak akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian peruntukan kerajaan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata setakat ini amalan bas henti-henti percuma tidak dilaksanakan secara langsung oleh kementerian tetapi dikendalikan di peringkat negeri.

DATUK KAMARUDIN JAFFAR

“Secara dasarnya, kementerian telah memberi pelbagai subsidi kepada perkhidmatan bas seperti myBAS, justeru, amalan bas percuma ini perlu pertimbangan lanjut,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong yang ingin tahu apakah kerajaan persekutuan akan memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti secara percuma di kedua-dua negeri itu.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Ling mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan Sabah dan Sarawak turut merasai kemajuan sistem pengangkutan seperti di Semenanjung Malaysia, Kamarudin menjelaskan menerusi Dasar Pengangkutan Negara (DPN), sebanyak 500 buah bas elektrik dengan peruntukan RM450 juta akan diagihkan ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2020.

“Kerajaan juga sedang meneliti kebolehlaksanaan model baharu pembiayaan bas henti-henti yang dicadangkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sejajar dengan janji kerajaan untuk menyediakan penambahan 10,000 bas awam di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menjelaskan kemajuan berkaitan pengangkutan awam di kedua-dua negeri tersebut dapat dilihat menerusi laluan jalan raya dari Serian ke Persimpangan Pantu (Sarawak) sepanjang 73.5 kilometer di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo, dijangka akan dibuka awal tahun depan.

“Bagi sektor maritim, Pelabuhan Bintulu menduduki tempat ketiga selepas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan jumlah kargo yang dikendalikan di Sabah dan Sarawak pula berjumlah hampir 100 juta tan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *