Berang Diejek ‘Lady Boy’, Remaja Tembak Pembulinya Sehingga Mati

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menembak mati rakan sekelasnya selepas dipercayai dibuli dan dihina dengan panggilan lady boy dalam kejadian di sebuah sekolah di Bang Kraso, daerah Muang di Nonthaburi, dekat Bangkok hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi (waktu tempatan) itu, Chonlasit Boonchan, 13, ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan bilik darjahnya. Dia ditembak di dahi.

Yayasan Siamnontaburi memaklumkan suspek memakai topeng hitam, baju dan sarung tangan ketika melepaskan tembakan ke arah Chonlasit.

Katanya suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan pergi ke tandas untuk menukar pakaian sekolahnya. Dia bagaimanapun berjaya ditangkap oleh guru dan pelajar di sekolah itu.

Suspek memberitahu polis Chonlasit berulang kali menampar dan memanggilnya sebagai toot (pondan) sehingga dia terdorong menembak mangsa.

Suspek turut memberitahu polis dia mencuri pistol bapanya pagi tadi untuk menembak Chonlasit ketika mangsa membuka kasut untuk memasuki bilik darjah.

Polis turut menemukan sepucuk pistol 7.65 milimeter di dalam beg sandang remaja terbabit.

Suspek kemudian ditahan, tetapi pihak polis tidak mendedahkan tuduhan yang akan dikenakan ke atasnya.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *