Skandal 1MDB: RM254,112.24 Milik UMNO Sabah Kini Harta Kerajaan

Wang RM254,112.24 yang dibekukan daripada akaun bank milik Badan Perhubungan UMNO Sabah yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB kini menjadi harta Kerajaan Malaysia. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Wang RM254,112.24 yang dibekukan daripada akaun bank milik Badan Perhubungan UMNO Sabah yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta Kerajaan Malaysia.

Keseluruhan jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak daripada UMNO Sabah ialah sebanyak RM1,254,112.24, namun RM1 juta dikembalikan kepada pihak responden.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan kepada mahkamah bahawa UMNO Sabah selaku responden menyatakan persetujuan penyelesaian melalui representasi bertarikh 9 Disember lalu.

“Representasi responden telah diterima pendakwaan dan pihak-pihak terbabit bersetuju dengan penyelesaian bahawa wang berjumlah RM254,112.24 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

“Baki wang RM1 juta dikembalikan kepada pihak responden,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, di sini hari ini.

Peguam, Harcharanjit Singh yang mewakili UMNO Sabah mengesahkan perkara berkenaan.

“Saya memohon mahkamah merekodkan kehakiman persetujuan tanpa pengakuan salah daripada responden serta wang RM1juta itu dikembalikan kepada pihak kami,” katanya.

Mohamed Zaini kemudian merekodkan penghakiman persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

“Dokumen persetujuan seperti yang tertera dalam draf dokumen persetujuan bertarikh hari ini adalah direkodkan dengan syarat tambahan tiada pengakuan salah daripada pihak responden,” katanya.

Permohonan melucut hak itu dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang akhbarnya baru-baru ini, berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *