ASB Umum Dividen 5.5 Peratus, Agihan Terendah Sejak 1990

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 pada Majlis Taklimat Media bagi Pembentangan Prestasi PNB 4Q2019 di Menara PNB.

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan 5.50 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pembayaran pengagihan itu adalah terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata walaupun berdepan persekitaran mencabar, ASB berjaya memberikan agihan pendapatan sebanyak RM9.0 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Beliau berkata, ketidaktentuan pasaran kewangan dan ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China serta perdagangan global yang perlahan menjejaskan prestasi eksport pasaran serantau dan permintaan luaran, sekali gus menjadikan persekitaran pasaran lebih mencabar pada 2019.

Katanya, walaupun pembayaran agihan ASB  rendah, tetapi kadar agihan itu lebih tinggi berbanding kadar deposit tetap dan mengatasi prestasi Indeks FBM KLCI.

“Jumlah keseluruhan pembayaran pengagihan bernilai RM9.0 bilion ASB ini akan memanfaatkan 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit.

“Setakat ini, sejak ASB diperkenalkan pada 1990, jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana sebanyak RM152.0 bilion dibayar oleh PNB kepada pemegang unit,” katanya ketika mengumumkan agihan pembayaran ASB di sini, hari ini.

Bagi Amanah Saham Nasional (ASN) pula, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 2.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *