Warisan Selar Kenyataan Annuar Musa

Datuk Loretto Padua (kanan) dan Tan Sri Annuar Musa.

KOTA KINABALU, 17 Dis: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang  menuduh kononnya Warisan menjadi dalang kepada kemasukan  pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua berkata Annuar sepatutnya bangun dari tidur dan berfikir sebagai manusia normal kerana UMNO yang bertanggung jawab mengeluarkan “IC Projek” kepada PATI di Sabah sebelum ini.

“Annuar seperti telah kehabisan modal sehingga kenyataannya berhubung isu PATI di Sabah telah “backfire” kepada beliau dan partinya sendiri. Sistem UMNO lah yang telah merosakkan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Loretto juga berkata kerajaan negeri pimpinan Warisan telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang selama ini telah membebani rakyat Sabah akibat daripada kerosakan yang dibuat sebelum ini oleh UMNO.

“Adakah UMNO masih ingin berselindung dan menuduh kerajaan pimpinan Warisan? Terus terang saya katakan bahawa kerajaan terdahulu tidak layak untuk bercakap soal masalah PATI kerana mereka telah gagal menyelesaikan masalah tersebut semasa mereka di tampuk kuasa,” katanya.

Beliau berkata segala permasalahan Sabah yang dilihat kini  adalah hasil dan peninggalan UMNO dan Barisan Nasional.

“Annuar sepatutnya malu kerana sebagai seorang pemimpin kanan, beliau boleh melakukan lebih baik daripada memalukan diri sendiri. Jangan anggap rakyat Sabah bodoh,” tegas Loretto.

Kelmarin dalam ciapan twitternya Annuar menuduh Warisan sebagai punca kemasukan beramai-ramai  PATI ke Sabah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *