Tiada Kes Baharu Polio Di Sabah – Poon

Datuk Poon Ming Fung

KOTA KINABALU, 17 Dis : Tiada kes baharu polio dilaporkan di Sabah selepas kes pertama dikesan pada 8 Dis lepas, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Poon Ming Fung.

Beliau berkata seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, yang dilaporkan dijangkiti virus polio itu masih dirawat dan diberi bantuan pernafasan di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang meneruskan langkah pencegahan dan kawalan termasuk menjalankan aktiviti pengesanan kes mempunyai gejala seperti kelemahan otot atau kelumpuhan  (AFP) bagi mengenal pasti jangkitan polio dalam kalangan kanak-kanak.

“Sebanyak  1,553 orang telah diperiksa dan tiada yang mempunyai gejala AFP dikesan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan larangan merokok di kedai makan di Jalan Gaya  dekat sini hari ini. Turut serta Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Pada 8 Dis lepas, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran dilaporkan dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Poon berkata JKNS sedang menunggu keputusan ujian makmal sampel tinja daripada 20 orang kontak rapat bayi itu untuk mengenal pasti punca jangkitan itu dan enam sampel persekitaran yang diambil bagi pengesanan kehadiran kuman polio.

Pemantauan kehadiran kuman polio dalam persekitaran melalui persampelan sisa buangan air sama ada terlarut atau terampai yang dibuang oleh penduduk seperti air dari tandas dan air cucian pinggan atau baju juga dijalankan di enam loji rawatan sisa buangan air terpilih, katanya.

“Setakat ini, tiada kuman polio dikesan dalam sampel persekitaran,” katanya, dan menambah, aktiviti pemberian imunisasi kepada kanak-kanak tercicir imunisasi di kawasan berhampiran tempat tinggal kes dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

Setakat 14 Dis, Poon berkata, seramai 59 kanak-kanak berumur dua bulan hingga 15 tahun di kawasan itu yang tercicir imunisasi telah diberikan imunisasi polio dan kesemua mereka adalah bukan warganegara.

Beliau berkata perancangan rapi sedang dibuat bagi pemberian imunisasi tambahan kepada semua kanak kanak berumur bawah lima tahun di Sabah dan program yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu akan dijalankan secepat mungkin ke arah memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

Poon berkata polio adalah satu daripada penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui pemberian imunisasi, justeru golongan ibu bapa digesa memastikan anak-anak tercicir imunisasi segera dibawa ke fasiliti kesihatan berhampiran.

“Penjadualan semula imunisasi bagi kanak-kanak tercicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian,” katanya, dan menjelaskan semua fasiliti kesihatan telah diarahkan untuk memastikan semua kes AFP dipantau dan dijalankan ujian pengesanan virus polio.

Dalam pada itu, Poon turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran terutama kerap mencuci tangan serta menggunakan tandas bersih kerana kuman polio boleh berjangkit melalui tangan, benda seperti mainan serta makanan atau minuman tercemar oleh tinja yang ada kuman polio.

Penduduk setempat juga dinasihat segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP dan memaklumkan pihak kesihatan jika mengetahui terdapat kes sedemikian yang tidak mendapatkan rawatan, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *