Geng Lius Aktif Pecah Rumah & Curi Kenderaan Tumpas, Polis Buru Saki Baki Kumpulan

Suspek yang dikehendaki polis IPD Kota Kinabalu (dari kiri) Mohd Raqib; Adzirul Kamarudin; Adzaruddin Kamaruddin; dan Ali Rosli Baru. Gambar Komposit SNT

KOTA KINABALU: Bagi mengelak jenayah dikesan, kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Lius’ menggunakan dua wanita menjadi orang perantaraan untuk menjual barangan curi di kedai emas selepas kumpulan berkenaan melakukan jenayah pecah rumah.

Bagaimanapun, perbuatan Geng Lius itu berakhir selepas polis menahan ketua kumpulan itu bersama dua wanita terbabit dan seorang lagi rakan sejenayah mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menunjukkan barangan yang disamun oleh Geng Lius pada sidang media atas kejayaan polis IPD Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Empat suspek yang berusia 20, 21, 23 dan 24 tahun ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sekitar bandar raya ini dan Telipok pada 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan disyaki terbabit dengan 15 jenayah pecah rumah dan curi kenderaan sebelum ini dan terbaru di Taman Cerah, Jalan Tuaran Bypass, pada 2 September lalu.

Antara barang kemas dan wang tunai matawang asing yang dirampas polis selepas tertumpasnya Geng Lius. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kejadian pecah rumah itu membabitkan kerugian RM80,000. Dengan tertangkapnya empat suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di sekitar daerah ini sebanyak enam kes, Penampang (2 kes), Papar (2 kes), Kudat (2 kes), Tawau (2 kes) dan Ranau (1 kes).

“Jumlah kerugian jenayah membabitkan 15 kes pecah rumah dan curi kenderaan oleh kumpulan ini dianggarkan bernilai lebih RM700,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil tangkapan keempat-empat suspek itu juga, polis berjaya menemukan barangan milik mangsa yang disyaki diperolehi dalam kegiatan jenayah mereka dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM118,000.

“Geng Lius dipercayai aktif sejak bulan September lalu dengan modus operandi mereka akan memecah masuk rumah mangsa yang ditinggalkan.

“Hasil curi seperti barangan kemas itu akan diserahkan kepada teman wanita ahli kumpulan itu untuk dijual di sekitar kedai emas di daerah ini sekali gus menutup perbuatan jenayah mereka sebelum ini.

“Salah seorang wanita yang diberkas itu adalah teman wanita kepada ketua kumpulan Geng Lius yang juga adalah warga asing,” katanya.

Habibi berkata tiga suspek yang ditahan itu turut mempunyai beberapa kes jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

Jelas Habibi lagi, pihaknya kini masih mengesan lima individu disyaki rakan sejenayah yang masih bebas dan dikehendaki polis untuk siasatan lanjut.

“Kelima-lima suspek ini berusia 21, 23, 24, 33 dan 35 tahun. Semua mereka dipercayai masih berada di daerah ini dan polis sedang giat mengesan suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *