3 Lelaki Kantoi Seludup 12 PTI Masuk Ke Sabah

Duabelas individu termasuk dua kanak-kanak dipercayai warganegara Indonesia yang cuba dibawa ke Tawau. Gambar Ihsan Batalion 20 PGA Beluran

TAWAU: Tindakan tiga lelaki tempatan memunggah pelbagai barangan ke dalam sebuah lori membongkar kegiatan menyeludup 12 individu termasuk dua kanak-kanak perempuan dipercayai pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Indonesia, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menjalankan pemeriksaan terhadap tiga lelaki berusia 24 hingga 40 tahun yang sedang memunggah barang.

Duabelas individu termasuk dua kanak-kanak dipercayai warganegara Indonesia yang cuba dibawa ke Tawau. Gambar SNT / Ihsan Batalion 20 PGA Beluran

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Komisioner Nasaruddin M Nasir berkata hasil siasatan mendapati barangan terbabit adalah milik warga asing terbabit dipercayai cuba dibawa ke daerah Tawau.

“Susulan pemeriksaan itu kita kemudian menjalankan serbuan di bangunan berhampiran kawasan memunggah dipercayai lokasi warga asing itu bersembunyi.

Antara individu yang ditahan dipercayai cuba seludup PTI.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak perempuan berusia dua hingga 34 tahun yang sedang bersembunyi di hujung bangunan rumah kedai berkenaan.

“Semua mereka turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal terhadap pati terbabit mendapati semua mereka dibawa menaiki dua kenderaan jenis Toyota Vigo dan Fortuner dari Paitan dan singgah ke kawasan berkenaan untuk memindahkan barangan ke dalam lori sebelum dibawa ke Tawau.

Semua barangan warga asing berkenaan dipunggah masuk ke dalam lori sebelum dibawa ke daerah Tawau.

“Siasatan turut mendapati semua mereka perlu membayar masing-masing RM700 untuk proses penghantaran ke Tawau,” katanya.

Nasaruddin berkata semua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *