Shafie Seru Raktat Pelbagai Kaum Meriahkan Sambutan Krismas

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal menyeru semua kaum turut meraikan sambutan Krismas bersama rakan-rakan Kristian sebagai salah satu langkah menyuburkan amalan saling hormat menghormati antara masyarakat pelbagai agama di negeri ini.

Ketua Menteri berkata, perayaan seperti Krismas mampu mengeratkan lagi hubungan yang sudah terjalin selama ini sehingga menjadikan Sabah negeri contoh kepada penduduk di Semenanjung.

“Semua orang di Sabah harus mengambil bahagian dalam setiap sambutan seperti Krismas bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan sedia ada di antara mereka, tetapi juga sebagai penghormatan terhadap satu sama lain.

“Merayakan setiap perayaan adalah satu penghormatan kepada satu sama lain, tidak ada ertinya bagi kita untuk mengetahui budaya lain tetapi tidak menghormati mereka, anda tidak mengharapkan dihormati jika anda juga tidak menghormati orang lain, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Program Donggongon Christmas Wonderland and New Year 2020, di Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin, semalam.

Pada majlis itu, Shafie turut menyampaikan hadiah berupa tajaan kepada 10 anak-anak golongan miskin tegar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.

Tajaan itu merupakan satu program yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi buat kali pertama pada tahun ini.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang yang turut hadir di program itu berkata, bantuan tajaan itu umpama  hadiah krismas yang cukup bermakna bagi 10  penerima golongan kumpulan isi rumah terendah (B40).

“Ini merupakan satu hadiah Krismas yang cukup bermakna kepada 10 pelajar tersebut termasuklah keluarga mereka,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *