Ops Sarang: Polis KK Tahan 31 Individu Termasuk Pengedar Dadah

Antara individu yang diperiksa polis dalam Ops Sarang, sekitar Kota Kinabalu. – Foto ihsan polis

KOTA KINABALU: Polis menahan 31 individu, termasuk seorang pengedar dadah dalam 19 serbuan menerusi Ops Sarang yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, sepanjang minggu lalu.

Operasi yang bermula 7 Disember itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu sebanyak 8.77 gram.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata operasi itu dilaksanakan di beberapa tempat termasuk di Kampung Sembulan, Kampung Darau dan sekitar Pekan Inanam.

“Hasil operasi, seramai 31 suspek berusia antara 16 hingga 47 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah sebanyak 8.77 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM438.50 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Katanya lagi, semua individu ditahan dan disiasat mengikut kesalahan masing-masing antaranya Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

Terdahulu, Habibi berkata, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ini bagi memastikan daerah Kota Kinabalu dalam keadaan tenteram, terutamanya membabitkan kegiatan jenayah.

“Bagi mempertingkat lagi usaha ini, kerjasama daripada orang ramai juga diperlukan terutamanya dalam memberikan maklumat berhubung kegiatan itu kepada pihak polis untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *