KDM Mahu Perubahan, Warisan Letak Calon Pasti Menang Di PRK Kimanis

PAPAR: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan calon yang diyakini boleh menang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, calon PRK Kimanis belum ditentukan namun, apa yang penting Warisan akan meletakkan calon yang boleh menang.

Beliau berkata, tiada ertinya Warisan meletakkan calon di Kimanis, jika calon itu tidak boleh menang dalam pilihan raya.

“Apa yang penting kita menang pilihan raya,” katanya ketika ditanya mengenai calon PRK Parlimen Kimanis.

Ditanya ditanya tentang keyakinan Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis, Mohd Shafie berkata, Warisan perlu mendekati rakyat kerana mereka tidak boleh terlalu selesa dan yakin.

“Kita tahu pilihan raya ini ditentukan oleh rakyat, bukan ditentukan oleh kita. Insyallah kita akan kerja keras…kita perlu bekerja keras. Kalau kita kerja keras pasti ada hasilnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Kesyukuran dan Meraikan Sambutan Hari Krismas 2019, di Kampung Kelatuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden KDM Malaysia merangkap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony berkata, sesiapa juga calon diletakkan dalam PRK Parlimen Kimanis, sokongan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) akan sentiasa bersama calon Warisan.

“Siapa sahaja calon, kita akan sokong. Di peringkat KDM, tiada masalah untuk memberi sokongan kepada bagi kita calon tidak penting, apa yang penting adalah pemimpin yang dipilih itu boleh mengubah dan membangunkan kawasan parlimen ini. Calon yang boleh menyuarakan masalah di peringkat negeri dan mewakili Sabah ke peringkat parlimen,” ujarnya.

Peter berkata, suku kaum KDM sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding suku kaum lain maka, rata-rata mereka adalah penyokong kerajaan yang mahukan perubahan dan kesamarataan untuk semua kaum.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *