Cubaan Samun, Penumpang Dan Pemandu Bergelut Di Dalam Teksi

Pemandu teksi yang hampir menjadi mangsa samun penumpangnya sendiri di Jalan Sibuga, Sandakan. – Ihsan PDRM

SANDAKAN: Bukan saja gagal menyamun pemandu teksi, malah seorang lelaki menerima padah apabila ditangkap polis dalam kejadian di Batu 5, Jalan Sibuga, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 38 tahun dikatakan menaiki teksi mangsa dari pusat bandar untuk ke Sibuga.

Ketika dalam perjalanan, suspek cuba menarik beg sandang mangsa menyebabkan mangsa memberhentikan teksinya di tengah jalan dan berlaku kejadian tarik menarik beg antara mangsa dan suspek.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata ketika kejadian juga, dua anggota polis yang secara kebetulan lalu di kawasan berkenaan bertindak pantas menahan suspek.

“Suspek cuba lari, namun berjaya ditahan. Lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *