PRK Kimanis Ujian Pakatan Harapan & WARISAN

Cakap-cakap politik mengenai soal calon dan parti sudah mula kedengaran selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang sebelum ini memutuskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Kimanis di Sabah sebagai tidak sah dan batal.

Parti politik bertapak di negeri itu sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang juga sudah mula ‘turun padang’ melihat peluang dan potensi berdasarkan maklum balas rakyat di Parlimen Kimanis sebagai panduan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada awal Februari 2020.

Perhatian juga pastinya bukan saja dari kawasan Kimanis dan Sabah sendiri, malah dari seluruh negara kerana sekali lagi ‘keupayaan’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat Pusat dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengekal atau mengukuhkan kedudukan bakal diuji.

Jika pada bulan lalu PH gagal mempertahankan kerusi Tanjung Piai di Johor dalam PRK bagi Parlimen berkenaan, pemerhati politik tentunya mahu melihat sama ada PH mampu bangkit semula di PRK Kimanis dengan merampas kerusi berkenaan yang sebelum ini diwakili Ahli Parlimen Bebas.

Bagi kerajaan negeri pimpinan WARISAN, PRK Kimanis bakal menjadi ujian kedua selepas PRK Sandakan pada Mei lalu yang menyaksikan kerjasama parti itu dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan PH berjaya mempertahankan kerusi berkenaan di tangan DAP dengan majoriti lebih besar.

Di pihak pembangkang pula, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO pastinya berusaha untuk merampas semula kerusi berkenaan berdasarkan perkiraan ia adalah miliknya kerana dimenangi bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman atas tiket BN sebelum beliau keluar UMNO tahun lalu.

UMNO sudah menyatakan akan meletakkan calon pada PRK Kimanis dan kemungkinan menamakan Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin memandangkan tiada pemimpin lain yang menonjol di kawasan itu setelah sebahagian besarnya meninggalkan UMNO dan menyertai WARISAN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain Anifah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif turut meninggalkan UMNO pada akhir tahun lalu sebelum secara rasmi menyertai BERSATU pada April lalu, menyebabkan UMNO kehilangan semua kerusi di Parlimen Kimanis.

Membakut adalah satu daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Bongawan dalam Parlimen Kimanis, namun kerusi DUN Bongawan berjaya dirampas calon WARISAN, Dr Daud Yusof selepas mengalahkan Mohamad yang mewakili BN pada PRU-14.

Parti pembangkang lain, khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan setakat ini belum menyatakan pendirian rasmi sama ada mahu meletak calon atau hanya menyokong calon pembangkang lain.

Anifah sendiri masih boleh bertanding namun hanya sebagai calon Bebas, kecuali beliau menyertai mana-mana parti pembangkang dan dicalonkan parti terbabit.

Kelmarin, pemimpin utama parti komponen PH Sabah dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH negeri yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH negeri, Datuk Christina Liew, sebulat suara memberi laluan kepada WARISAN untuk meletakkan calon pada PRK Kimanis.

Pemimpin parti komponen PH Sabah dari PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU Sabah turut menyatakan jaminan untuk memberikan sokongan kepada calon diletakkan WARISAN bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

Ini bermakna tiada lagi isu parti mana mewakili kerajaan yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Kimanis, hanya menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penting PRK sebelum WARISAN mengumumkan calon.

Pada PRU-14, Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Parlimen Kimanis adalah kerusi luar bandar dengan majoriti daripada 29,805 pengundinya setakat suku pertama tahun ini adalah Bumiputera Islam berketurunan Brunei, diikuti Bumiputera bukan Islam yang kebanyakannya masyarakat Kadazandusun.

Penulis adalah wartawan BH Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *