Penyeludup Terjun Laut, 26 Tong LPG Ditemukan

TAWAU: Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawa dengan terjun ke laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai cuba menyeludup keluar 26 tong gas petroleum cecair (LPG) di muara Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, suspek dilihat terjun ke laut dan berenang ke arah kawasan bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri.

V SIVA KUMAR

Pengarah Zon Maririm Tawau, Kapten Maritime V Siva Kumar berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan rondaan Op Pluto Timur di kawasan tersebut.

“Ketika rondaan dilakukan, anggota bertugas berjaya menemukan satu bot penumpang dengan nombor pendaftaran sedang bergerak dengan laju dalam keadaan mencurigakan di Sungai Haji Kuning.

“Maritim Malaysia kemudian berjaya menahan bot tersebut untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Siva, ketika pemeriksaan dilakukan, juragan bot bertindak terjun ke laut secara tiba-tiba sebelum menghilangkan diri di kawasan hutan bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan berjaya menemukan 26 tong gas LPG dan dua jerikin berisi petrol berada dalam bot tersebut.

“Kami percaya semua barangan tersebut cuba diseludup keluar dari Tawau ke negara jiran,” katanya.

Menurut Siva, semua barangan tersebut termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM23,000 dirampas serta dibawa ke jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran sah dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana salah guna lesen bot penumpang

“Kami akan mengesan pemilik sebenar bot berdasarkan nombor pendaftaran yang ada,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *