Hukum Anak Jadi Pengemis

Budak lelaki yang ditahan bersama beg sekolah melutut di depan stesen kereta api mengemis makanan.

BEIJING: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun diselamatkan polis selepas ditinggalkan di stesen kereta api dan diarahkan mengemis oleh bapanya sebagai hukuman kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Polis mendapat panggilan jam 4.45 pagi mengenai seorang budak lelaki dengan beg sekolah melutut di depan stesen kereta api mengemis makanan, lapor South China Morning Post.

Kanak-kanak itu yang hanya memakai jaket untuk melindungi daripada sejuk berkata, dia ditinggalkan di situ 45 minit sebelumnya ketika ayahnya pergi bekerja.

“Saya dihukum kerana tidak menghabiskan kerja sekolah,” katanya dipetik Kankan News.

Menurut laporan, bapanya memberinya mangkuk dan mengarahkannya melutut serta ‘mengemis untuk makanan sebagai hukuman.’

Polis membawa budak itu ke balai sebelum memberi minuman panas dan biskut selain menghubungi ibunya yang tiba sejam kemudian. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *