(VIDEO) Lan Solo Buka Kedai Runcit Jual Produk Sabah & Sarawak

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo, mendapat inspirasi untuk membuka kedai runcit menjual barangan dari Sabah dan Sarawak apabila sering menerima pesanan mendapatkan makanan popular dua negeri berkenaan.

Katanya, kedai yang dibuka di Puchong Prima sejak sebulan lalu itu menerima sambutan memberangsangkan daripada mereka yang mengidam makanan negeri terbabit.

“Saya kerap menerima undangan menjayakan persembahan di Sabah dan Sarawak, jadi ramai yang sering meminta tolong kami belikan makanan dari sana. Dari situ, isteri mendapat idea untuk membuka kedai runcit menjual produk makanan Sabah dan Sarawak.

“Berikutan ada produk yang tidak boleh diterbangkan kerana berbau dan sebagainya, jadi sebahagiannya dibawa ke sini menggunakan kaedah kargo.

“Saya sendiri menyukai makanan unik di kedua-dua negeri terbabit dan tidak lupa menikmatinya setiap kali berada di sana,” katanya ketika ditemui pada sidang media program hiburan, My Buskers, di sini.

Selain dirinya, rancangan 11 episod itu akan turut menampilkan artis seperti Datuk Awie, Ameng, Azharina, Datuk Hattan, Black, Adira, Hujan, Drama Band, Ruffedge dan One Nation Emcees.

Kata Lan, ramai teman artis berasal dari dua negeri itu, seperti Azharina dan Adira, turut berkunjung ke kedai mereka kerana rindukan makanan kampung halaman masing-masing.

“Alhamdulillah, buat waktu ini sambutan diberikan memberangsangkan dan kami berhasrat menambah lebih banyak produk untuk jualan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Lan kini dalam proses menghasilkan single bersama bekas anggota kumpulan Kristal.

“Buat waktu ini, kami mahu dikenali sebagai Ex Band. Ketika ini, kami mencari material sesuai untuk dijadikan single dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan, seperti ketika bersama-sama sebagai Kristal.

“Ia juga sebagai usaha membantu rakan yang sudah lama tidak bergerak aktif dalam bidang seni. Tiada motif lain kami berbuat demikian selain mencari rezeki untuk menyara keluarga,” kata Lan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *