Tawau Bersedia Terima Pelancong Menjelang Tahun Melawat Tawau

TAWAU, 12 Dis: Tawau telah bersedia untuk menerima limpahan pelancong dari luar negara menjelang Tahun Melawat Tawau tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew hari ini.

Katanya, beliau gembira dengan kebanyakan pengendali premis perniagaan di daerah ini seperti pengusaha restoran yang menyediakan ruang besar untuk menampung lebih ramai pengunjung, malah turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke restoran.

Image may contain: 7 people, people smiling, people standing and outdoor
Christina Liew penyampaian bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Titingan

“Selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, saya berusaha sedaya upaya untuk menarik pelancong ke Sabah, khususnya ke Tawau.

Para peniaga kecil dan sederhana di Tawau juga mahukan peluang memasarkan produk mereka kepada pelancong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Titingan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Liew turut mendengar taklimat oleh Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Khushairy Deraman mengenai kejadian kebakaran pada 7 Dis lepas yang memusnahkan 22 rumah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut memberitahu sebuah perkhidmatan dikenali sebagai Bantuan Orang Susah (BOS) diwujudkan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau bagi menyalurkan bantuan terus kepada rakyat yang memerlukan dalam kawasan Parlimen itu.

Katanya, selaku Ahli Parlimen Tawau, beliau prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan dan telah berusaha untuk menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh bagi meringankan beban mereka.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk menjadikan Tawau sebagai daerah sifar kemiskinan agar makmur, harmoni, aman dan maju dari segi ekonomi,” katanya.

Liew juga berkata rakyat di Tawau perlu memanfaatkan kedudukan daerah itu di kawasan segitiga perniagaan dengan Nunukan/Tarakan di Indonesia dan Tawi-Tawi/Zamboanga Filipina untuk melonjakkan peluang ekonomi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *