Semporna Miliki Balai Bomba Atas Air Pertama Di Malaysia

Kamarulzaman Malik (empat dari kiri) hadir pada Majlis Penyerahan Kunci dan Menandatangani Dokumen Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna.

SEMPORNA: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) atas air yang pertama di Malaysia beroperasi sepenuhnya di Semporna, hari ini.

Balai itu terletak dekat Jeti Pelancongan Semporna dijangka dapat meminimumkan masa respon ketika berdepan kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, sebagai permulaan BBP bernilai RM200,000 itu akan menempatkan tiga bot sebagai aset operasi.

Katanya, ia juga berkekuatan 20 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) terlatih yang terdiri daripada anak jati Semporna bersama tiga penyelia dan seorang ketua balai.

“Tiga fungsi atau komponen utama pos ini adalah masing-masing untuk operasi memadam kebakaran, mencari dan menyelamat (SAR) dan sebagai Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) atau ambulans air.

“Bagaimanapun, kita dijangka akan memperoleh sebuah lagi bot ‘Fire Fighting’ yang lebih besar berkapasiti tiga tan yang akan ditempatkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Menandatangani Dokumen Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat; Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Zuraidah Latip dan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat.

Sementara itu, Benedict berharap kewujudan BBP atas air itu akan dapat menangani isu kesukaran operasi bomba di kawasan penempatan atas air di daerah itu.

“Ada lebih 10 perkampungan atas air di Semporna yang berdepan risiko sekiranya berlaku kebakaran.

“Justeru, kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberi peruntukan sekali gus membolehkan Majlis Daerah Semporna (MDS) sebagai agensi pelaksana merealisasikan projek ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *