Majlis Gereja-Gereja Puji Sabah Beri Cuti Tambahan Sempena Krismas

KOTA KINABALU: Pengumumam cuti umum tambahan sempena Krismas untuk Sabah bukan hanya berita baik kepada rakyat di negeri ini tetapi juga kepada Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC).

Presidennya, Datuk James Wong berkata, pengumuman cuti umum pada 24 Disember itu adalah satu berita baik kepada mereka yang kebiasannya sibuk pada malam Krismas.

Beliau berkata, sehari sebelum Krismas merupakan hari yang paling sibuk buat gereja kerana ia merupakan malam Krismas.

“Jadi bila 24 Disember juga merupakan hari cuti umum, maka banyak masa untuk gereja membuat persiapan pada malam Krismas.

“Ini adalah hadiah yang sangat istimewa, hadiah yang cukup bermakna daripada Kerajaan Sabah,” katanya ketika ditanya mengenai pengumuman cuti umum tambahan sempena Krismas oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019, di Padang Merdeka, di sini semalam.

James berharap dengan adanya cuti tambahan itu, lebih banyak rumah terbuka dan kunjungan sesama rakan dan keluarga dapat dilakukan dalam meraikan perayaan Krismas.

“Krismas merupakan masa untuk kita belajar hidup dalam keharmonian dan merapatkan hubungan sesama manusia.

“Jadi manfaatkan cuti Krismas ini sebaik mungkin dengan berkunjungan antara satu sama lain disamping, mempromosikan kehidupan yang harmoni,” katanya.

Tambahnya, ini kali pertama Sabah memperoleh cuti Krismas selama dua hari dan   seperti dinyatakan Ketua Menteri, ini akan membolehkan orang pulang ke kampung halaman masing-masing, terutama bagi mereka yang tinggal jauh.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kabinet Sabah atas keputusan yang dibuat. Cuti ini bukan hanya bermanfaat kepada penganut Kristian tetapi juga kepada masyarakat Sabah secara keseluruhan,” jelasnya.

Dalam Majlis Perasmian Perayaan Krismas itu, Mohd Shafie mengumumkan cuti umum selama dua hari sempena Krismas iaitu pada 24 dan 25 Disember.

Keputusan memberi cuti tambahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah kemarin.

Cuti umum selama dua hari, iaitu 24 dan 25 Disember adalah cuti umum tahunan yang akan bermula pada tahun ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *