Bicara Pengurus Ladang Gagal Serah Gading Gajah Pada 23 Mac 2020

FOTO BERNAMA

TAWAU, 11 Dis: Perbicaraan kes seorang pengurus ladang di Kalabakan atas tuduhan gagal menyerahkan dua gading gajah Borneo yang dilindungi kepada pegawai Jabatan Hidupan Liar akan bermula 23 Mac tahun hadapan di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes Jaifol Liun, 52, hari ini.

Awang Kerisnada memutuskan perbicaraan berlangsung selama tiga hari bermula 23-25 Mac dan membenarkan kes itu dibicarakan bersama kes tiga lagi lelaki iaitu Paranchoi Nordin, 59, Abdullah Simin, 68, dan Martin Alok, 44, yang didakwa memiliki atau bersubahat memiliki dua gading gajah Borneo itu.

Mahkamah turut menetapkan 16 April sebagai tarikh keputusan pada akhir kes pendakwaan dan melanjutkan ikan jamin terhadap Jaifol yang diwakili peguam Goldam Hamid.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Ali Imran memaklumkan sembilan saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Mohamed Ali turut memohon kes Jaifol dibicarakan bersama dengan kes tiga lagi lelaki itu atas alasan ia membabitkan saksi dan eksibit yang sama dengan kes Jaifol.

Pada 13 Nov lepas, Jaifol, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan dengan niat gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi iaitu dua gading gajah dari jenis Gajah Borneo kepada pegawai diberi kuasa atau Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Rumah Pengurus Ladang Kampung Felda Umas, Kalabakan pada 9.00 pagi, 2 Okt lepas,?????? mengikut Seksyen 40 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 40(3) enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Jaifol antara enam suspek yang ditahan polis pada 2 Okt lepas dalam Ops Khazanah, selepas seekor gajah ditemui mati dengan kesan tembakan pada 25 Sept oleh sekumpulan pemancing di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan.

Paranchoi, Abdullah dan Martin pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat memiliki atau bersubahat memiliki dua gading gajah Borneo, spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa kebenaran bertulis daripada menteri yang bertindak atas nasihat pengarah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *